suria

Sebuah bandar pelancongan popular di Vietnam ikrar henti penjualan daging kucing dan anjing

Sebuah bandar pelancongan popular di Vietnam ikrar henti penjualan daging kucing dan anjing

PIHAK berkuasa di sebuah bandar pelancongan popular di Vietnam iaitu Hoi An berikrar untuk menghentikan penjualan daging kucing dan anjing.

Ini yang pertama seumpamanya di negara tersebut.

Sekitar lima juta anjing dimakan setiap tahun di Vietnam, iaitu kedua tertinggi di dunia selepas China, dengan sesetengah penduduk percaya memakan daging tersebut boleh menghapuskan nasib malang.

Pihak berkuasa di Hoi An memeterai perjanjian dengan kumpulan hak haiwan, Four Paws International untuk berjanji menghentikan penjualan dan makan daging kucing dan anjing.

"Kami ingin bantu menggalakkan kebajikan haiwan menerusi penghapusan penyakit anjing gila atau 'rabies', menghentikan perdagangan daging anjing dan kucing serta menjadikan bandar ini sebuah destinasi pelancongan yang utama," kata naib datuk bandar Nguyen The Hung.

Julie Sanders dari Four Paws International berkata detik bersejarah itu mungkin menjadi teladan bagi tempat-tempat lain di Vietnam.

Satu tinjauan kebangsaan yang dijalankan oleh kumpulan hak haiwan itu pada tahun ini mendapati hanya sekitar 6.3 peratus daripada 600 penduduk Vietnam yang ditinjau makan haiwan tersebut, dan 88 peratus menyokong larangan itu.

Namun daging anjing tetap boleh diperolehi dengan mudah di Hanoi.

Pada 2018, pihak berkuasa di Hanoi menggalakkan orang ramai supaya berhenti daripada makan daging anjing kerana ia mencalarkan reputasi bandar tersebut selain dikhuathiri membawa kepada jangkitan rabies. - Berita Media Corp

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

daging, kucing, anjing, makan, jual

Artikel Lain