suria

Tak sempat jumpa cicit, 2 bayi diraja diberi nama sempena Putera Philip

Mendiang Putera Philip (gambar fail) diberikan penghormatan menerusi dua cicit baginda yang dinamakan sempena namanya. foto AP.

PUTERA Philip mendapat penghormatan oleh dua cucu baginda apabila anak mereka yang baru lahir diberikan nama sempena baginda.

Namun malangnya, dipercayai baginda tidak berpeluang untuk bertemu dengan cicitnya berikutan pandemik Covid-19.

Puteri Eugenie, 31, dan Zara Tindall, 39, kedua-duanya memberi penghormatan kepada datuk mereka yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 99 tahun, Jumaat lalu, dengan memberi nama baginda buat bayi mereka.

Eugenie dan suami, Jack Brooksbank menamakan anak pertama mereka August Philip Hawke Brooksbank selepas dilahirkan pada 9 Februari.

August menjadi cicit kesembilan buat Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh.

Sebulan kemudian, sepupunya Zara, yang merupakan anak perempuan kepada Puteri Anne dan Mark Phillips, memutuskan untuk menamakan anak ketiganya bersama pasangan Mike dengan nama Lucas Philip Tindall.

Bagaimanapun dipercayai sekatan keselamatan yang memisahkan banyak keluarga di seluruh United Kingdom ketika 'lockdown' turut menghalang mendiang Duke daripada bertemu dengan cicitnya.

Ratu Elizabeth II dan Putera Philip mengeluarkan kenyataan sejurus selepas kelahiran itu yang berharap dapat bertemu dengan cicit ke-10 mereka apabila keadaan mengizinkan, sambil menambah bahawa mereka gembira dengan kelahiran tersebut.

Dua kelahiran itu bagaimanapun bukanlah satu-satunya yang membawa nama Duke kerana Putera Charles dan Putera William turut mempunyai nama Philip, iaitu Putera Charles Philip Arthur George dan Putera William Arthur Phillip Louis. - Mirror

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain