suria

Misteri! Ratusan biri-biri berdiri membentuk bulatan seperti ‘piring terbang’ di padang ragut

Gambar yang dirakam Hogg menunjukkan ratusan biri-biri membentuk formasi bulatan. Foto: Jam Press

SEORANG lelaki yang sedang menunggang basikal terkejut apabila menyaksikan pemandangan yang disifatkan sangat luar biasa ketika melalui kawasan sebuah perkampungan.

Christopher Hogg, 47, ketika itu sedang berbasikal di Rottingdean, timur Sussex apabila dia secara tiba-tiba terlihat formasi berbentuk bulatan di tengah-tengah padang ragut.

"Ia berbentuk bulat seperti piring, juga seperti kapal makhluk asing. Ia sangat cantik namun sangat aneh apabila memikirkan anda melihatnya pada 2021.

"Saya berbasikal lebih dekat untuk melihatnya dan kemudian menyedari bulatan itu kawanan biri-biri!" katanya.

Hogg turut mengambil gambar 'pemandangan aneh' itu yang memaparkan ratusan biri-biri berdiri dalam bentuk bulatan yang sempurna.

Dia kemudian berkongsi gambar-gambar tersebut di Facebook yang mana ia mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen.

"Terdapat banyak perdebatan sama ada itu adalah lingkaran tanaman petani atau biri-biri itu didorong oleh kekuatan aneh. Ada juga yang berjenaka mengatakan haiwan itu sedang melakukan 'prank' kepada petani.

"Kami semua setuju supaya Mulder dan Scully selesaikan misteri tersebut!" katanya merujuk kepada dua watak penting dalam siri X-Files. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain