suria

Kecoh wanita dakwa hamil hanya sejam sebelum bersalin

Heni Nuraeni bersama anak lelakinya. Foto CEN

SEORANG wanita mencetuskan kontroversi di media sosial, selepas dia mendakwa hanya hamil selama sejam sebelum melahirkan seorang bayi.

Heni Nuraeni mendakwa ia merupakan keajaiban Tuhan yang mengurniakannya seorang bayi lelaki dalam tempoh sejam sebelum bersalin.

Bercakap kepada pemberita, gadis berusia 28 tahun dari bandar Tasikmalaya di Jawa Barat, Indonesia itu berkata: "Pada mulanya saya berada di rumah, tiada apa-apa yang pelik.

"Kemudian saya berasa sesuatu bergerak di bahagian kanan perut saya.

"Saya mengalami kekejangan dan dalam tempoh sejam kami memanggil bidan dan saya bersalin," katanya yang telah mempunyai dua anak sebelum itu.

Heni mendakwa dia menyedari tiada bayi di dalam perutnya sebelum ini kerana mengalami haid seperti biasa sejak sembilan bulan lalu, malah mengalami pendarahan sejurus sebelum bersalin.

Susulan dakwaannya tersebar di media sosial, seorang pakar obstetrik di Hospital Hasan Sadikin Bandung, Dr Ruswana Anwar berkata, wanita kadang-kadang tidak menyedari bahawa mereka hamil dan ia merupakan satu daripada 25,000 kes,

Doktor itu memberitahu bahawa berat badan wanita berkenaan mungkin bertambah, menyebabkan dia tidak menyedari dirinya hamil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mustahil bagi seorang wanita untuk melahirkan setelah hamil hanya selama sejam.

Menurut doktor itu lagi, alasan yang diberikan wanita tersebut bahawa masih mengalami haid tidak mungkin berlaku, namun ia juga boleh disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon semasa kehamilan. - Mirror

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Heni Nuraeni, hamil, sejam,

Artikel Lain