suria

Kesan lebam mungkin petanda baharu jangkitan Covid-19 - Doktor Sepanyol

Pasukan doktor masih mengumpul data untuk membuat kesimpulan mengenai kesan lebam antara tanda koronavirus. -foto Spanish General Council of Official Podiatrist

KESAN luka dan lebam berwarna ungu yang menyerupai cacar air atau campak di bahagian jari kaki dan kaki mungkin menjadi tanda anda dijangkiti koronavirus, lapor doktor di Sepanyol dan Itali.

Pesakit yang mempunyai kesan lebam warna gelap gelap, terutama kanak-kanak dan remaja telah disahkan positif Covid-19 di Sepanyol, begitu juga di Itali dan Perancis.

Antara kes awal yang dilaporkan melibatkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun di Itali, yang mana kesan itu pada mulanya dianggap sebagai gigitan labah-labah.

Dia pergi ke hospital pada 8 Mac setelah mengalami luka pada kulit sebelum ia merekah. Dua hari kemudian dia mengalami demam, sakit otot, sakit kepala dan gatal serta lebam teruk pada kaki.

Bagaimanapun, disebabkan bencana kesihatan yang menyelubungi Itali, ujian koronavirus tidak dijalankan terhadapnya.

Kanak-kanak dan remaja dikatakan cenderung mendapat simptom ini.

Tetapi pada 29 Mac, lima minggu selepas kes Covid-19 pertama di Itali, laporan rasmi pertama melibatkan kanak-kanak dengan gejala wabak itu dikeluarkan.

Kini, seorang daripada lima pesakit di hospital Itali mengalami keadaan dermatologi yang pelik.

Seorang pakar dermatologi kanak-kanak di Bari, Mazzotta Troccoli berkata situasi ini menjadi semakin biasa di seluruh Itali.

Dia menulis: "Jika pemerhatian lanjut dan data makmal akan mengesahkan bahawa kita berdepan petunjuk klinikal Covid-19, tanda dermatologi ini mungkin berguna untuk mengenal pasti kanak-kanak dan remaja dengan bentuk jangkitan yang minimum, tetapi sumber yang berpotensi untuk mendapat jangkitan seterusnya."

Biasanya Covid-19 menjejaskan paru-paru, menyebabkan batuk berterusan, masalah pernafasan dan demam tinggi.

Itali, Perancis dan Sepanyol sedang meneliti kesan lebam pada pesakit yang berkemungkinan positif Covid-19.

Walau bagaimanapun, terdapat juga peningkatan laporan cirit-birit, sakit testis dan kehilangan deria rasa dan bau sebagai tambahan kepada penemuan terbaharu ini.

Sebuah majlis kesihatan di Sepanyol juga menimbulkan kebimbangan mengenai gejala baharu di kaki ini.

Majlis itu, yang mempunyai 7,500 anggota profesional, telah membuka satu pangkalan data mengenai kemungkinan kes Covid-19 dan mereka yang mengalami kesan melecet serta lebam di kaki.

"Banyak kes sedang dalam pemerhatian di pelbagai negara; Itali, Perancis, Sepanyol.

"Penemuan yang mula tersebar ini menimbulkan rasa ingin tahu di bidang penjagaan kesihatan, kalangan ahli dermatologi dan doktor haiwan, secara asasnya: gejala yang sama semakin banyak dikesan pada pesakit Covid-19, terutama kanak-kanak dan remaja, walaupun beberapa kes juga telah dikesan pada orang dewasa.

"Ia adalah kesan melecet berwarna ungu (sangat mirip dengan cacar air, campak) yang biasanya muncul di sekitar jari kaki dan biasanya sembuh tanpa meninggalkan bekas pada kulit," tulis majlis itu. -Metro UK

Covid-19, simptom, kulit, lebam, kaki

Artikel Lain