suria

Ribuan buruh India hilang pekerjaan ingkar lockdown, ramai bimbang merebaknya jangkitan Covid-19 besar-besaran

Tindakan buruh dari luar Mumbai ini mencetuskan kebimbangan kerana boleh mengakibatkan merebaknya wabak Covid-19.

BEBERAPA jam selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan lanjutan perintah berkurung akibat koronavirus sehingga 3 Mei, sebilangan besar buruh dari luar Mumbai berkumpul di jalanan untuk pulang ke kampung masing-masing.

Pekerja yang memperoleh pendapatan harian berdepan masalah tiada pekerjaan disebabkan perintah itu.

Walaupun pihak berkuasa India dan pertubuhan bukan kerajaan menyediakan makanan untuk mereka, namun majoriti daripadanya tetap mahu pulang ke kampung halaman mereka.

Menurut pihak polis, pekerja terlibat mencecah kira-kira 1,000 orang telah berkumpul di hentian bas di Bandra (barat) berhampiran stesen kereta api, malahan ada yang berlegar-legar di jalanan sekitar pukul 3 petang.

Kumpulan pekerja itu tinggal di kawasan setinggan berhampiran Patel Nagri dan keluar untuk mendapatkan pengangkutan untuk kembali bersama keluarga di  kampung.

Kebanyakan mereka dari negeri seperti Bengal Barat dan Uttar Pradesh.

Bagaimanapun, tindakan mereka menimbulkan kebimbangan ramai kerana situasi itu boleh mengakibatkan berlaku jangkitan kerana pergerakan secara besar-besaran.

"Jika keadaan ini berterusan, Bandra boleh menjadi lokasi panas Covid-19 yang seterusnya," kata pemilik akaun Twitter, Sangharsh Kale.

Jurucakap kongres, Sanjay Jha menerusi kenyataanya berpendapat, situasi itu berlaku kerana tiada sistem sokongan untuk membantu pekerja terbabit.

"Panik, dalam situasi ini perlu ada empati daripada segi kemanusiaan," katanya.

Selain di Bandra, situasi hampir sama turut berlaku di Mumbra hingga ramai pihak mula menunding jari terhadap pentadiran negara itu.

Pada awalnya, pihak polis meminta pemimpin komuniti supaya menasihatkan buruh berkenaan untuk bersurai, bagaimanapun apabila ia gagal pihak polis mula bertindak dengan kekerasan menggunakan cota.-indiatoday.in

lockdown, Bandra, Mumbai, buruh, Modi