suria

Seluruh kampung ketakutan, lelaki sakit jantung disahkan positif Covid-19 seminggu selepas jiran uruskan pengebumian!

SELURUH penuduk Kampung Malang Nengah, daerah Ciseeng, Wilayah Bogor ketakutan setelah mengetahui jiran mereka sebenarnya meninggal dunia akibat dijangkiti virus korona atau Covid-19.

Situasi itu kerana urusan pengebumian jenazah telah dilakukan dalam kalangan penduduk setempat tanpa sebarang perlindungan sekali gus tidak mengikut prosedur melibatkan pesakit wabak itu.

Ketika jiran mereka meninggal dunia pada awal April, hasil ujian saringan jangkitan itu belum diperoleh.

Penduduk di Jawa Barat itu menyangka pemandu ojek itu meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Lelaki berusia 48 tahun itu sememangnya diketahui sering mendapatkan rawatan kerana penyakit jantung yang dihidapinya.

Selesai pengebumian arwah, kira-kira 25 penduduk kampung itu turut menghadiri majlis tahlil selama tujuh hari.

Bagaimanapun, mereka terlibat mulai bimbang selepas mendapat berita mengenai keputusan ujian terhadap jiran mereka itu.

"Penduduk kampung itu benar-benar tidak tahu arwah positif Covid-19 kerana maklumat itu tidak segera disampaikan kepada mereka oleh pihak kesihatan. Hanya selepas selesai tahlil berita itu diterima.

"Bagi mengurangkan kerisauan mereka, isolasi sendiri dilakukan," demikian kata pegawai di daerah itu, Heri Isnandar.

Menurutnya, keputusan ujian ke atas arwah hanya diperoleh pada Sabtu lalu dan ternyata dijangkiti virus berbahaya itu.

Sehubungan itu, semua penduduk kampung yang terlibat menguruskan jenazah lelaki itu dan majlis tahlil juga berpotensi dijangkiti.

"Maklumat asal memang meninggal dunia akibat sakit jantung, jadi tidak ada persiapan untuk pengebumian sebagai pesakit Covid-19.

"Bagaimanapun, sebagai pemandi ojek, mungkin dia ke Depok, Tangerang, Jakarta di mana wabak itu boleh menukar daripada penumpangnya," katanya.

Susulan itu, seluruh ahli keluarga lelaki itu dan penduduk yang hadir majlis tahlil akan diperiksa untuk pengesahan status kesihatan mereka.-kompas.com

Bogor, ojek, Covid-19, jantung

Artikel Lain