suria

Tempoh kuarantin pasti akan dilanjutkan, Itali tak tahu ‘di mana mahu letak keranda’

Keranda-keranda ini akan diangkat dengan trak tentera untuk dibakar. -foto IPA/Backgrid

SEORANG paderi dirakamkan gambarnya bersama 90 keranda ketika Covid-19 membunuh lebih dari 10,000 orang di Itali.

Gambar-gambar paderi Don Marcello Crotti di gereja San Giuseppe, Seriate, menunjukkan dia sedang berjalan di celah-celah susunan keranda sebelum ia diambil untuk dibakar.

Pengebumian kini dilarang di Itali disebabkan oleh wabak koronavirus yang berterusan.

Wabak Covid-19 di Itali kini meragut 10,779 nyawa dengan jumlah kumulatif kes mencecah 97,689, menurut data dikeluarkan Jabatan Perlindungan Awam pada Ahad.

Sejumlah 756 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, lapor agensi berita Xinhua dengan jumlah pesakit yang dirawat dalam unit rawatan rapi seramai 3,906 orang.

Pastor Mario Carminati memberitahu Reuters bahawa jumlah kematian yang besar menyebabkan pihak berkuasa Itali tidak tahu di mana 'tempat untuk meletakkan keranda'.

Dia menggambarkan bagaimana banyak keranda dihantar di Gereja St Joseph setiap hari.

Kemudian forklift digunakan untuk mengangkat dan memasukkan keranda-keranda ke trak tentera sebelum ia dibawa untuk dibakar.

Penularan Covid-19 di Itali sangat membimbangkan. -foto IPA/Backgrid

Dia berkata perkara yang paling menyedihkan apabila ramai yang meninggal dunia bersendirian, jauh dari orang tersayang disebabkan sekatan di seluruh Itali.

Ahli keluarga dilarang mempunyai kontak dengan saudara-mara mereka di hospital, dalam usaha untuk mencegah penularan koronavirus.

"Kita sering bercakap tentang 'paling memerlukan' dan kini perkara inilah yang 'paling memerlukan'.

"Merekalah yang paling memerlukan walaupun mereka telah mati," katanya.

Seriate terletak di Bergamo, wilayah Lombardy di Itali, salah satu kawasan paling teruk dilanda koronavirus di negara itu.

Berdasarkan jumlah kematian yang direkodkan pada Sabtu, 542 datangnya dari rantau ini dengan jumlah keseluruhan 5,944 kematian.

Langkah kuarantin yang dikuatkuasa di seluruh Itali tiga minggu lalu akan dilanjutkan, kata Menteri Kesihatan Roberto Speranza, lapor agensi berita Sputnik

"Hari ini, negara kita masih menjadi pusat krisis. Kita tidak boleh kurangkan langkah pencegahan. Langkah itu akan berakhir pada 3 April dan ia pasti akan dilanjutkan," kata Speranza ketika muncul di stesen televisyen Rai 2 pada Ahad.

Katanya, kerajaan akan bermesyuarat pada Isnin untuk membincangkan mengenai langkah kuarantin itu.

"Kita masih perlu berkorban. Kita memerlukan lebih banyak masa," ujarnya. -Metro UK/Bernama

keranda, Itali, Covid-19, paderi, kuarantin

Artikel Lain