suria

Putera Harry, Meghan pindah ke Los Angeles, Trump suruh tanggung sendiri bil keselamatan

Pasangan ini dilaporkan telah berpindah ke AS. -foto Getty

PUTERA Harry dan Meghan Markle perlu membayar sendiri bayaran perlindungan keselamatan mereka selepas berpindah ke Amerika Syarikat (AS), kata Donald Trump.

Presiden AS itu menolak untuk membayar bil keselamatan mereka yang bernilai sekurang-kurangnya £20 juta selepas mereka keluar dari keluarga diraja.

Trump menulis di Twitter: "Saya adalah kawan baik dan penyokong Ratu & United Kingdom. Laporan menyatakan Harry dan Meghan telah meninggalkan kerajaan dan akan menetap di Kanada.

"Sekarang mereka telah meninggalkan Kanada untuk ke AS, namun AS tidak akan membayar perlindungan keselamatan mereka. Mereka mesti membayarnya!"

Pasangan itu sebelum ini dilihat telah menjadi pengkritik Trump.

Trump menulis tweet mengenai pembiayaan keselamatan Putera Harry dan Meghan Markle.

Ia muncul apabila The Sun mendedahkan pasangan itu, bersama Archie telah berpindah dari rumah mereka yang bernilai £10.7 juta di Vancouver, Kanada ke Los Angeles.

Mereka melarikan diri dari Kanada ketika pandemik koronavirus dengan menaiki penerbangan persendirian sebelum sempadan antara Kanada dan AS ditutup.

Duke dan Duchess of Sussex tidak akan melakukan tugas-tugas sebagai kerabat dan tidak dibenarkan menggunakan gelaran diraja bermula Rabu ini.

Tetapi persoalan mengenai bil keselamatan mereka yang tinggi masih timbul, termasuk membawa sembilan pegawai Polis Metropolitan yang sangat mahir di antara UK dan AS.

Mereka dikhuatiri menggunakan duit pembayar cukai British, tetapi boleh jadi juga ia dibayar oleh pasangan itu atau dibayar sendiri oleh Ratu atau Putera Charles.

Scotland Yard dan Polis Diraja Kanada telah menyediakan khidmat keselamatan sepanjang hari untuk pasangan itu dan bayi Archie di rumah mereka yang disewa di Vancouver.

Tetapi Kanada sebelum ini mengesahkan akan berhenti menyediakan perlindungan untuk mereka apabila mereka berhenti menjadi ketua kanan bermula 31 Mac. -The Sun

Artikel Lain