suria

UK tinggalkan Kesatuan Eropah mulai hari ini

Rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada EU menerusi pungutan suara pada Jun 2016.

BAGI pihak negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Majlis EU meluluskan keputusan untuk menyempurnakan perjanjian bagi membolehkan United Kingdom (UK) keluar daripada blok berkenaan, menurut kenyataan pada Khamis.

Agensi berita Xinhua melaporkan keputusan berkenaan dibuat sehari selepas sesi plenari Parlimen Eropah meluluskan perjanjian Brexit dengan 621 menyokong, 49 menentang dan 13 berkecuali.

Pemimpin politik EU dan UK sudah pun menandatangani perjanjian itu yang merintis laluan pengunduran secara teratur UK daripada EU.

Ia meliputi hak warga negara, penyelesaian kewangan, tempoh peralihan, protokol mengenai Ireland dan Ireland Utara serta beberapa isu lain, menurut kenyataan itu.

Perjanjian berkenaan akan berkuatkuasa dengan penarikan diri UK daripada EU pada malam Jumaat, menamatkan keanggotaan negara itu selama 47 tahun.

Rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada EU menerusi pungutan suara pada Jun 2016 dan kerajaan itu secara rasmi memaklumkan kepada EU mengenai hasrat mereka pada Mac 2017.

Menjelang 1 Februari, UK tidak lagi dianggap sebagai negara anggota EU, meskipun ia akan terus mengguna pakai undang-undang EU sehingga tempoh peralihan tamat pada akhir 2020.-Bernama

Kesatuan Eropah, EU, Brexit, undi

Artikel Lain