suria

Bengkak macam sosej keluar nanah hijau, remaja terlantar di hospital selepas buat rawatan bibir

Seorang remaja mendakwa bibirnya mengeluarkan nanah berwarna hijau. Foto Kennedy News and Media

SEORANG remaja mendakwa dia dimasukkan ke hospital selama beberapa hari selepas menjalani rawatan kecantikan bibir sehingga mengakibatkan bibirnya membengkak seperti sosej dan mengeluarkan nanah berwarna hijau.

Lauren Winstanley dari Wigan, Manchester di United Kingdom menempah rawatan di sebuah pusat kecantikan untuk mendapatkan suntikan bibir.

Remaja berusia 18 tahun itu menjalani rawatan tersebut pada bulan lalu bagi mengubah bentuk bibirnya yang kecil.

Keterujaan Lauren bagaimanapun bertukar mimpi ngeri selepas bibirnya beberapa kali membengkak tiga kali gandar sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.

"Ia mula membengkak, saya terkejut bila tengok bibir di cermin kerana tidak pernah tengok diri saya dengan bibir lebih besar.

Keadaan bibir yang semakin teruk membuat Lauren terpaksa membuat pemeriksaan di hospital. Foto Kennedy News and Media

"Pakar kecantikan itu memberitahu kesan bengkak itu akan surut dan saya pada mulanya fikir tidak mengapa ia membengkak sedemikian.

"Bagaimanapun, ia mula berasa sakit dan semakin membengkak selepas beberapa jam," katanya.

Malahan, Lauren berkata, bibirnya membengkak tiga kali ganda besar berbanding saiz yang sepatutnya.

"Saya tidur tetapi terbangun kerana bibir semakin sakit.

"Saya mula panik dan berasa tidak sihat, jadi saya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan.

Pemilik pusat kecantikan itu ketika dihubungi menjelaskan bahawa bibir bengkak tersebut disebabkan jangkitan yang dihadapi Lauren, dan bukannya berkaitan dengan rawatan tersebut. - Daily Star

bibir, bengkak, nanah

Artikel Lain