Lelaki dakwa jam kecergasan yang dipakainya terbakar ketika tidur, dapat rasa ia cair di tangan - Dunia | mStar

Lelaki dakwa jam kecergasan yang dipakainya terbakar ketika tidur, dapat rasa ia cair di tangan

Keadaan tangan Landers akibat jam tangan yang dipakainya meletup. -foto FB Ethan Landers

SEORANG lelaki melecur tahap ketiga di pergelangan tangannya selepas jam tangan yang dipakainya terbakar ketika dia sedang tidur.

Ethan Landers dari Iowa berkongsi beberapa gambar ngeri di Facebook menunjukkan bahagian pergelangan tangannya terbakar dan mempunyai parut berbentuk empat segi selain memberi amaran kepada orang ramai tentang potensi bahaya apabila mereka memakai peranti kecergasan popular itu.

Mengimbas kembali kejadian pada 23 Oktober lalu, ketika itu dia sedang tidur dan tiba-tiba terbangun akibat rasa sakit di pergelangan tangannya.

Dia terkejut melihat jam yang dipakainya terbakar dan berusaha untuk menanggalkannya.

Landers berkongsi gambar-gambar kejadian di Facebook. -FB Ethan Landers

Gagal membukanya dalam beberapa percubaan pertama, dia melompat dari tempat tidur, menghidupkan lampu dan meminta isterinya membantu menanggalkan jam tersebut.

"Saya dapat rasakan ia cair di tangan saya. Asap keluar dari bateri dan bilik tidur kami berbau seperti kebakaran elektrik.

"Kami menelefon seorang jururawat dan dia minta kami pergi ke unit kecemasan kerana ia berwarna putih dan sudah melecur," katanya.

Landers mengalami kesan kekal akibat kejadian itu. -FB Ethan Landers

Dia kemudian bergegas ke hospital di mana doktor membersihkan luka dan melakukan ujian sinar-x untuk memastikan tidak ada sisa serpihan di tangannya.

Dalam temujanji yang berikutnya, pihak hospital membuat kesimpulan bahawa dia melecur tahap tiga, yang memerlukan Landers mendapatkan rawatan kulit.

"Saya tak rasa apa-apa di bahagian pergelangan tangan kerana saraf mati dan saya akan mempunyai bekas luka yang besar sepanjang hayat.

"Ini pengalaman yang traumatik dan saya harap tak ada orang lain yang akan melaluinya," katanya.

Fitbit dalam satu kenyataan berkata keselamatan pelanggan adalah perkara paling utama. -FB Ethan Landers

Fitbit memberitahu Daily Mail bahawa mereka sangat prihatin terhadap aduan Landers mengenai jam tangan Fitbit Ionic yang dipakainya dan menyatakan bahawa kesihatan dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan nombor satu syarikat.

"Produk Fitbit direka dan dihasilkan mengikut piawaian yang ketat dan menjalani ujian dalaman dan luaran secara meluas untuk memastikan keselamatan pengguna kami.

"Berdasarkan ujian dalaman dan analisis bebas pihak ketiga kami, kami tidak percaya kecederaan jenis ini boleh berlaku daripada penggunaan normal," katanya.

Pada masa ini, syarikat itu berkata bahawa mereka 'komited untuk melakukan siasatan penuh' dan cuba mendapatkan jam tangan Landers untuk mengujinya. Bagaimanapun, dia belum bersetuju untuk menyerahkannya lagi.

"Kami ingin memastikan para pelanggan dapat terus menikmati produk Fitbit mereka dengan penuh keyakinan dan melihat tiada sebab untuk mereka berhenti menggunakan Fitbit Ionic atau peranti Fitbit lain," kata Fitbit.

jam tangan , kecergasan , terbakar

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

Artikel Lain