suria

Lelaki diisytihar mati selepas keluarga beritahu tiada wang bayar bil hospital, 'mayat' bangun sebelum dikebumi

Mohammad Furqan dikejarkan ke hospital selepas 'mayat'nya dilihat bergerak. -foto Independent Digital News & Media Limited

KUBUR sudah digali, ahli keluarga, sanak-saudara dan mayat juga sedia untuk dikebumikan.

Tetapi sebuah majlis pengebumian di India bertukar kepada situasi mengejutkan apabila lelaki yang dikatakan sudah mati itu mula bergerak.

Mereka yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Mohammad Furqan kehairanan apabila melihat lelaki itu, yang telah disahkan mati oleh doktor sebenarnya masih hidup.

'Mayat' pemuda berusia 20 tahun itu digegaskan semula ke hospital dan diberikan sokongan ventilator.

Tetapi kisah yang berlaku di kawasan terpencil di Lucknow ini mengejutkan negara, menimbulkan persoalan mengenai sistem kesihatannya, menyebabkan siasatan dilakukan di negeri Uttar Pradesh.

Furqan yang tidak sedarkan diri sejak kemalangan pada 21 Jun diisytiharkan mati pada Isnin selepas keluarganya memberitahu sebuah hospital swasta (tidak dinamakan) yang merawatnya bahawa mereka telah kehabisan wang untuk membayar bil.

Dia dihantar pulang ke rumah dengan ambulans pada hari yang sama selepas doktor berkata dia telah meninggal dunia.

Abangnya, Mohammad Irfan berkata emosi keluarganya terganggu dan trauma dengan apa yang berlaku.

Dia memberitahu Hindustan Times: "Ketika kami sedang mempersiapkan pengebumiannya, ada antara kami melihat pergerakan anggota badan mayat. Kami segera membawa Furqan ke Hospital Ram Manohar Lohia di mana doktor berkata dia masih hidup dan telah meletakkannya sokongan ventilator.

"Kami telah membayar Rs7lakh (RM42,000) kepada hospital swasta sebelum ini dan apabila kami beritahu mereka bahawa kami telah kehabisan wang, mereka mengisytiharkan kematian Furqan."

Ketua pegawai perubatan di Lucknow, Narendra Agarwal berkata: "Kami mengambil maklum tentang kejadian itu dan ia akan disiasat dengan teliti.

"Pesakit berada dalam keadaan kritikal tetapi yang pasti bukan mati otak. Dia mempunyai nadi, tekanan darah dan refleksnya berfungsi. Dia telah diletakkan pada sokongan ventilator," katanya.

mati, hidup, doktor

Artikel Lain