suria

Tukang cuci sekolah curi 25 iPad, sumbat dalam seluar, dakwa ia hadiah kerana buat kerja bagus

SEORANG tukang cuci sekolah 'kantoi' apabila rakaman CCTV menunjukkan dia mencuri beberapa buah iPad bernilai ribuan ringgit.

Dia pada mulanya mendakwa gajet tersebut adalah hadiah yang diberikan kerana dia melakukan kerja-kerja pembersihan dengan baik.

Fiona Rabess, 29, mencuri 25 buah iPad bernilai sekurang-kurangnya £300 setiap satu dari Sekolah Rendah Christ Church di Streatham, barat daya London, antara Oktober 2017 dan Jun 2018.

Sekolah itu pada mulanya percaya murid-murid tak sengaja membawa balik iPad mereka ke rumah tetapi rakaman kamera keselamatan di bilik IT sekolah menunjukkan sebaliknya.

Rabess dilihat menyumbat beberapa iPad dalam seluarnya dan sebahagian daripadanya ditemui di kedai pajak di Brixton, yang masih memaparkan logo sekolah tersebut.

Dua tablet juga ditemui di rumah Rabess di Streatham dan broker pajak bertindak memulangkan sebahagian daripadanya iPad yang ada pada mereka.

Rabess mengaku bersalah terhadap lima tuduhan curi di Mahkamah Majistret Camberwell Green dan dijatuhi hukuman melakukan kerja komuniti selama 12 bulan.

Dia juga diarahkan menjalankan 180 jam kerja tanpa bayaran dan diperintahkan untuk membayar balik £600 untuk beberapa buah iPad.

Selepas pendengaran, Robert Short, dari sekolah itu berkata: "Fiona Rabess telah bekerja di sekolah ini selama lebih dari dua tahun dan merupakan tukang cuci yang dipercayai.

"Bagaimanapun, dia menggunakan aksesnya ke bangunan untuk mengambil alat pendidikan murid sekolah untuk mendapat keuntungan kewangannya sendiri.

"Rabess pada mulanya mendakwa iPad-iPad tersebut adalah hadiah daripada penjaga sekolah kerana kerja luar biasanya dalam membersihkan tandas, tetapi pendakwaan terhadap Rabess begitu kukuh sehingga dia tidak mempunyai pilihan melainkan mengaku bersalah atas kecurian itu." -Mail Online

iPad, hadiah, curi

Artikel Lain