Ibu sebak, penumpang lepaskan tempat duduk kelas pertama untuknya bersama bayi menderita paru-paru kronik - Dunia | mStar

Ibu sebak, penumpang lepaskan tempat duduk kelas pertama untuknya bersama bayi menderita paru-paru kronik

Kelsey bersama anaknya, Lucy yang menghidap penyakit paru-paru kronik. Foto Facebook Kelsey Rae Zwick

SEORANG ibu sebak apabila seorang penumpang bermurah hati memberikan tempat duduk kelas pertama kepadanya dan bayi perempuannya yang sakit.

Kelsey Rae Zwick dalam penerbangan dari Orlando, Florida ke Philadelphia, Pennsylvania di Amerika Syarikat (AS), bersama bayinya bagi membawa anaknya untuk dirawat di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia.

Menerusi satu perkongsian Kelsey di Facebook, dia menaiki penerbangan American Airlines bersama Lucy, dan kemudian didatangi seorang kru kabin.

Anak beranak itu dimaklumkan bahawa seorang penumpang di kelas pertama mahu menukar tempat duduk.

Kelsey percaya kemurahan hati penumpang tersebut selepas melihat dia menolak kereta sorong bayi dan membawa peralatan mesin oksigen untuk Lucy, yang menghidapi penyakit paru-paru yang kronik.

Kelsey berkata, dia tidak dapat menyembunyikan emosinya kerana sebak sehingga menitiskan air mata.

Katanya, dia tidak berpeluang untuk berterima kasih kepada penumpang itu, jadi dia berharap dapat berhubung denganya menerusi media sosial.

"Kepada penumpang lelaki di (tempat duduk) 2D. Hari ini anda menaiki penerbangan dari Orlando ke Philly (Philadelphia).

"Saya tidak kenal anda, tetapi saya bayangkan anda melihat kami di satu tempat. Saya menolak kereta sorong bayi, membawa beg berisi lampin dan juga mesin oksigen untuk anak perempuan saya.

"Kami gembira bila jumpa dengan 'rakan-rakannya' di CHOP (Hospital Kanak-Kanak Philadelphia)," katanya.

Dia menambah: "Berbanyak terima kasih. Bukan sekadar untuk tempat duduk tu, tetapi juga menyedari kehadiran kami.

"Melihat kami dan menyedarinya mungkin bukan sesuatu yang mudah. Keputusan anda menunjukkan kemurahan hati kepada rakyat AS. Ia mengingatkan saya betapa baiknya di dunia ini," ujarnya. - Mirror Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel