suria

Pasangan sejenis catat sejarah, sama-sama 'merasa' kandung seorang anak

-foto AshleighCoulter

DUA wanita pasangan sejenis dipercayai telah melakukan sejarah perubatan selepas kedua-dua mereka merasai pengalaman mengandungkan bayi yang sama dalam perut masing-masing.

Ashleigh dan Bliss Coulter, dari Mountain Springs, Texas Utara, menjalani rawatan kesuburan Effortless Reciprocal IVF supaya mereka berdua sama-sama dapat terlibat dalam proses kelahiran.

Mula-mula sekali telur diambil dari Bliss, 36, dan disenyawakan dengan sperma penderma di makmal.

Embrio kemudian dimasukkan ke dalam rahim Bliss, yang bertindak sebagai inkubator dalam tempoh lima hari pertama.

Bliss bagaimanapun tidak mahu 'membawa' kandungan itu selama sembilan bulan, jadi embrio kemudian dikeluarkan dan diletakkan di dalam rahim Ashleigh yang berusia 28 tahun.

Pada Jun tahun ini, anak lelaki mereka, Stetson, lahir dalam keadaan sempurna.

Stetson

Ashleigh dan Bliss bertemu enam tahun lalu dan berkahwin pada Jun 2015.

Walaupun mereka berdua berharap untuk mempunyai anak suatu hari nanti, Bliss mahukan seorang bayi dari darah dagingnya sendiri tetapi tidak mahu hamil.

Pasangan sama seks wanita biasanya mempunyai anak melalui penyumbang sperma, dengan salah seorang daripada mereka mengandung dan seorang lagi menjaganya.

Bagaimanapun, Bliss dan Ashleigh mahu bayi itu berada dalam kandungan masing-masing.

Mereka mula mendapat tahu tentang Effortless Reciprocal IVF apabila seorang rakan mencadangkan mereka menonton klip berita tentang pakar kesuburan di sebalik rawatan itu, Dr Kathy Doody.

Pasangan itu membuat temujanji dengan Dr Doody dari Klinik Kesuburan C.A.R.E di Bedford yang terletak antara Fort Worth dan Dallas pada 2016.

Effortless Reciprocal IVF buat masa ini hanya ditawarkan di klinik itu, melibatkan persenyawaan telur dengan sperma penderma dalam peranti yang dikenali sebagai kapsul INVOcell.

Peranti itu, yang dibuat sepenuhnya dari plastik, kemudian diletakkan di dalam vagina wanita untuk mengekalkan suhu suam embrio dan menghilangkan toksin, seperti gas berbahaya.

Dalam IVF tradisional, embrio diinkubasi di makmal sebelum ia dipindahkan ke rahim wanita.

Kebiasaannya, Effortless Reciprocal IVF melibatkan wanita sama yang mendermakan telurnya dan kemudian mengandungkannya.

Disebabkan telur dan embrio berasal dari Bliss dan kemudian dimasukkan ke dalam rahim Ashleigh, ini adalah kes perubatan yang unik. Dr Doody percaya ia adalah yang pertama seumpamanya.

Dia memberitahu MailOnline: "Apa yang membuatkan ia istimewa adalah ini kali pertama dua wanita merasai kehamilan anak mereka bersama-sama.

"Setiap orang memainkan peranan aktif dalam aspek kehamilan bayi mereka, yang mana ia berbeza dengan kehamilan biasa atau IVF tradisional."

Dr Doody mendedahkan Ashleigh dan Bliss adalah pasangan yang pertama, tetapi bukan satu-satunya pasangan yang mengandungkan bayi yang sama menggunakan teknik ini.

Beliau berkata pasangan yang tidak dikenali dalam lingkungan usia 30-an telah melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat beberapa minggu yang lalu selepas menjalani prosedur tersebut.

Dr Doody percaya teknik ini membolehkan pasangan wanita mempunyai ikatan yang unik dengan bayi mereka.

Beliau berkata ia mungkin lebih murah daripada rawatan kesuburan alternatif kerana vagina bertindak sebagai inkubator dengan meninggalkan satu langkah dalam makmal.

Proses ini melibatkan kos sekitar AS$8,500 (RM35,555 ) menjadikannya ia murah lebih separuh harga IVF biasa di Texas, di mana satu kitaran boleh menelan kos sehingga AS$20,000 (RM83,660). -MailOnline

IVF, hamil, pasangan sejenis

Artikel Lain