suria

Disangka meninggal dunia, ibu sebak disatukan dengan anak diculik 31 tahun lalu

Lyneth memberitahu perkara pertama yang akan dilakukan untuk anak lelakinya adalah memasak hidangan untuk anaknya. Foto Toronto Star via Getty Images/Mirror Online

SEORANG ibu menggambarkan momen yang menakjubkan, apabila disatukan semula dengan anak lelakinya yang diculik 31 tahun lalu.

Lyneth Mann-Lewis kehilangan anak lelakinya, Jermaine Allan Mann, yang kini berusia 33 tahun, yang didakwa diculik oleh bapanya pada 1987 semasa lawatan berjadual di Toronto, Kanada.

Pada masa itu, Lyneth tidak pasti sama ada dia dapat bertemu bayinya lagi, selepas kehilangannya yang baru berusia 22 bulan ketika kejadian.

Anak beranak itu kini disatukan semula selepas polis Amerika Syarikat (AS) menahan Allan Mann, 66, yang ditemui terbabit dengan dokumen palsu.

Mengimbas kembali saat dia mendapat khabar berita mengenai anak lelakinya dijumpai, Lyneth berkata: "Perasaan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata."

"Ungkapan 'Anak lelaki anda hidup, kami temui dia' - sesuatu yang menakjubkan."

Gambar Jermaine yang diedarkan oleh Persatuan Anak Hilang Kanada. Foto Missing Children Society of Canada/Mirror Online

Katanya, perkara pertama yang dilakukannya sebelum bercakap dengan anak lelakinya adalah memegangnya, sambil menambah: "Saya mahu lihat sekiranya dia itu adalah benar-benar wujud. Saya kata 'Oh Tuhan, anak saya."

Jermaine didakwa dibawa keluar oleh bapanya dari Kanada ke AS dan ibunya, Lyneth diberitahu bahawa dia telah meninggal dunia semasa bayi.

Ibu bapa Jermaine berpisah setahun sebelum kejadian pada 1986, dan Allan menerima hak lawatan terhadap anak lelakinya, yang didakwa melakukan penculikan pada 24 Jun 1987.

BBC melaporkan bahawa polis Toronto melancarkan siasatan secara besar-besaran terhadap kehilangan Jermaine.

Gambar-gambar Jermaine yang diedit mengikut perkembangan usia turut diedarkan oleh Polis AS dan Kanada.

Jermaine sebenarnya ditemui pada Khamis lalu, 26 Oktober selepas bapanya ditahan di Vernon, Connecticut kerana menggunakan sijil kelahiran palsu untuk dirinya sendiri dan anak lelakinya, dengan mendakwa mereka berasal dari Texas, AS.

Sijil kelahiran tersebut dikesan palsu semasa dia mahu menggunakannya untuk memohon sebuah unit perumahan bersubsidi. - Mirror Online

Artikel Lain