suria

Gempa Sulawesi: Anisa masih mengharap dapat temui semula tunangnya, walau ditakdir cacat

ANISA Cornelia ditempatkan di dalam khemah perubatan yang panas, dengan sakit di pinggang dan luka di badannya tetapi apa yang dia boleh fikirkan adalah nasib yang menimpa lelaki yang sepatutnya dinikahinya bulan ini.

Dia masih belum menemui lelaki itu sejak tsunami melanda Sulawesi yang telah memisahkan pasangan tersebut. Kejadian itu berlaku ketika mereka berjalan di pesisiran pantai pada waktu senja.

"Di mana tunang saya? Tolong, adakah anda ada berita mengenainya?" demikian kata wanita berusia 22 tahun itu.

Anisa merayu kepada kakitangan perubatan yang datang untuk memeriksa keadaannya di halaman hospital medan di kota Palu.

"Semua orang masih lagi mencari dia. Awak kena bersabar okay?" kata Dr Andi Sengrengrele.

Menceritakan lebih lanjut, kata Anisa, dia berjumpa tunangnya, Iqbal Nurdiansyah yang berusia 25 tahun, tujuh tahun yang lalu melalui rakannya di sekolah dan mula tertarik dengan keperibadiannya, kening yang lebat dan mukanya yang tampan.

Tiga tahun yang lalu, dia membawa Anisa ke restoran kegemarannya di Teluk Palu dan melamarnya. Majlis perkahwinan mereka sepatutnya berlangsung 15 Oktober ini di sebuah hotel berhadapan pantai, Hotel Swiss.

Pada 28 September lalu, pasangan itu berjalan di pesisiran pantai selepas makan malam dengan lapan anggota keluarga Nurdiansyah dan mengambil gambar  matahari terbenam sebagai latar belakang.

Kemudian, tiba-tiba tanah bergegar.

Orang ramai yang sedang bermain bola tampar dan berehat di kafe pantai tersebut mula menjerit, "Gempa bumi! Gempa!"

Ketika itu, Anisa dan bakal suaminya berfikir mereka akan melarikan diri tanpa sebarang luka.

Tidak lama selepas itu, dia terdengar deruan dan melihat gelombang ombak yang besar datang ke arah mereka. Semua orang mula berlari dan itulah kali terakhir dia melihat Nurdiansyah di mana ketika itu dia cuba menyelamatkan dua anak buahnya.

Anisa yang tidak dapat berenang, menelan air laut ketika dia disedut masuk di bawah gelombang ombak kuat dan berpusing, 'kiri dan kanan, seperti bola berputar.

Ajaibnya, dia masih berada di pantai dan masih mampu berdiri tetapi kemudian gelobang ombak kedua melanda, yang lebih rendah dan lebih cepat dan dia telah diheret sepanjang satu kilometer. Tubuhnya dirempuh pelbagai serpihan termasuk papan kayu pecah dan sampah sarap.

Apabila air mula surut, dia keseorangan di antara pagar besi dan padang bola sepak. Seorang lelaki membantunya dan membawanya melepasi kereta pecah yang telah ditolak ombak deras.

Daripada sembilan orang lain yang berada di pantai dengannya hari itu, hanya seorang anak buah perempuan Nurdiansyah yang berusia lima tahun terselamat dan dua lagi telah disahkan mati manakala lagi enam masih hilang.

Rakan-rakan telah mencari di semua hospital tetapi Nurdiansyah masih lagi tidak dijumpai dan mungkin dia telah dibawa ke bandar yang lain, kata ibu Anisa iaitu, Ray Djangaritu, yang berusia 44 tahun.

Rangkaian telefon bimbit yang terhad membuatkan ia menyukarkan hubungan.

"Saya percaya dia masih hidup.

"Saya mahu mengahwininya, walaupun tuhan kembalikan dia dengan kecacatan, tiada tangan atau buta.

"Saya boleh melihat bagi dirinya, selagi saya sihat," kata Anisa sambil berpegang kepada harapan bahawa Nurdiansyah masih hidup.

Seminggu selepas gempa bumi dengan ukuran 7.5 magnitud dan tsunami itu, masih ramai yang belum dapat mencari insan tersayang, sama ada yang selamat atau yang telah mati.

Sehingga Khamis, kerajaan Indonesia mengesahkan seramai 1,558 orang maut, dengan 113 lagi masih  hilang dan 152 orang dipercayai terkubur di lumpur dan serpihan-serpihan. 

Namun, masih ramai keluarga yang belum melaporkan kehilangan ahli keluarga kepada pihak polis dan masih belum diketahui berapa ramai yang mungkin lemas, dihanyutkan ke laut atau tertimbus di dua kawasan kejiranan di Palu yang ditimpa bencana itu.

Lisda Cancer, yang mengetuai Jabatan Pengenalan Mangsa Polis tempatan berkata kira-kira 600 mayat yang terkubur di tanah perkuburan besar-besaran di Palu masih belum dikenal pasti dan sehingga Rabu, pihak berkuasa telah mengambil gambar mangsa dengan harapan saudara-mara dapat mengenal pasti mereka kemudian.

"Tetapi kita terpaksa berhenti kerana mayat yang kita jumpa kini sudah mula mereput.

"Mereka telah menjadi bahaya kepada kesihatan awam, dan arahan baru adalah untuk kebumikan mereka dengan segera," kata Cancer.

Bencana itu telah 'mengalahkan' pihak berkuasa tempatan dan pada Khamis, sebuah ambulans swasta membawa mayat seorang lelaki yang ditemui di jalan menuju ke dua hospital, termasuk hospital di mana Cornelia dirawat, namun kedua-dua hospital tersebut menolak mereka.

Sebelum ambulans itu berlalu pergi, seorang wanita dengan tudung merah sedang mencari anak perempuannya yang hilang selama seminggu mula menangis dan kakitangan hospital berkata mereka telah menjumpai mayatnya tetapi telah dihantar untuk dikebumikan bersama mayat yang lain di tanah perkuburan Palu. - Korea Herald 
Anisa, Palu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain