suria

Gadis 19 tahun tak boleh bercakap selepas lapan jam dirogol 12 lelaki, termasuk tentera

-Gambar hiasan

SEORANG gadis berusia 19 tahun tidak boleh bercakap selepas diberikan dadah, diculik dan diperkosa oleh sekumpulan lelaki di utara India.

Remaja itu sedang dalam perjalanan ke kursus persiapan peperiksaan di Mahendragarh ketika dia diculik di perhentian bas sekitar jam 8 pagi pada Rabu lalu.

Gadis itu dipercayai mengenali dua suspek tersebut, jadi dia mengambil air yang diberikan oleh mereka.

Manish, salah seorang suspek. -fotoANI

Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah yang terletak kira-kira 40km dari perhentian bas, di mana beberapa lelaki lain tiba.

Kumpulan itu, dipercayai seramai 12 orang kemudian mengambil giliran untuk merogolnya selama lapan jam, menurut The Times of India.

Dia akhirnya dibawa kembali ke perhentian bas dengan salah seorang daripada lelaki dari kumpulan terbabit menelefon keluarganya menyuruh mereka mengambilnya dengan alasan gadis itu tidak sihat.

Mangsa dibawa ke sebuah hospital di mana dia dirawat kerana kecederaan di belakang, bahu dan alat kelamin.

Ibunya memberitahu akhbar itu: "Dia mengalami kesakitan teruk di kerongkongnya dan tidak dapat bercakap atau menelan apa-apa. Mereka mungkin memegangnya bahagian tekaknya yang menyebabkan kesakitan ini."

Pegawai polis Ashwini Kumar berkata mangsa berada dalam keadaan stabil. Katanya pihak polis mengetahui identiti suspek, yang telah mematikan telefon bimbit mereka dan mengelak daripada ditangkap.

Polis juga telah mengeluarkan gambar tiga daripada mereka dalam usaha menjejaki suspek. Ketiga-tiga mereka telah dikenal pasti sebagai Pankaj, yang berkhidmat dalam tentera selain Nishu dan Manish. Setakat ini masih tiada penangkapan dibuat.

Pankaj. -fotoANI

Lt Gen Cherish Mathson memberitahu NDTV: "Jika anggota tentera terlibat dalam jenayah, kami akan memastikan bahawa orang itu ditangkap dan dihukum. Kami tidak melindungi penjenayah."

India sering dikaitkan dengan banyak kes serangan seksual sejak 2012, termasuklah seorang gadis dirogol beramai-ramai di dalam sebuah bas yang sedang bergerak di New Delhi.

Walaupun kerajaan telah meluluskan satu siri undang-undang yang meningkatkan hukuman rogol orang dewasa hingga 20 tahun penjara, jarang berlaku keadaan di mana tiada serangan seksual dilaporkan dalam tempoh lebih dari beberapa minggu.

rogol, berkumpulan, serangan seksual

Artikel Lain