suria

Dua maut, 120 cedera selepas gempa bumi gegar Hokkaido

TOKYO: Dua orang telah disahkan terkorban manakala 120 lagi cedera selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 menggegar wilayah Hokkaido yang terletak di utara Jepun pada awal Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.

Laporan itu memetik badan penyiar kebangsaan Jepun, NHK, sebagai berkata bahawa sejumlah besar rumah tertimbus dalam insiden tanah runtuh manakala kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang hilang.

Gempa itu melanda Hokkaido pukul 3.08 pagi waktu tempatan pada awal Khamis (1808 GMT Rabu), dan pusat gempa terletak di latitud 42.7 darjah utara serta longitud 142.0 darjah timur dengan kedalaman 40 kilometer.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata gempa itu berukuran melebihi 6 pada skala intensiti seismik Jepun (skala maksimum adalah 7) di sesetengah kawasan dalam wilayah Hokkaido.

Ini adalah kali pertama gempa bumi di Hokkaido mencecah intensiti melebihi angka 6 sejak skala seismik itu disemak semula pada 1996.-- Bernama

Hokkaido, gempa

Artikel Lain