Suami jutawan tapi jadi tukang kutip sampah, keluarga pun 'naik' malu! - Dunia | mStar

Suami jutawan tapi jadi tukang kutip sampah, keluarga pun 'naik' malu!

Paparan skrin video Ruptly.

SEORANG ahli perniagaan yang berjaya diberi gelaran 'jutawan pemungut sampah' kerana tabiatnya yang suka mengutip sampah di tepi jalan di bandar tempat tinggalnya.

Zhong Congrong, 52, dari Chongqing, China mula membersihkan jalan-jalan di bandar tempat tinggalnya tiga tahun lalu, selepas dia dan keluarganya berkunjung ke wilayah Hainan, selatan China pada Tahun Baru Cina.

Di sana, dia bertemu seorang profesor universiti yang telah bersara dan dilaporkan melakukan kerja-kerja memungut sampah dari salah sebuah pantai tempatan setiap hari, selama empat tahun.

Dia sangat kagum dengan dedikasi dan komitmen wanita itu, jadi Congrong memutuskan untuk meniru tabiat harian profesor tersebut di bandar kelahirannya sebaik sahaja dia pulang dari bercuti.

Menariknya, pada mulanya, tindakan mengumpul sampah itu dipandang negatif oleh penduduk tempatan dan media.

Orang ramai tidak faham mengapa seorang jutawan yang memiliki perniagaan hartanah, syarikat pengedar kereta dan beberapa kilang pemprosesan bahan sanggup menjadi seorang pengutip sampah.

Mereka menganggap ia hanyalah satu cara untuk mendapatkan perhatian, tetapi Congrong tidak menghiraukan pandangan negatif itu.

Malah pada mulanya, keluarganya sendiri keliru dengan tingkah laku lelaki ini.

Isteri dan anak-anaknya berasa malu dengan liputan negatif pihak media mengenai tabiat suaminya dan enggan dilihat bersama dengan jutawan itu di tempat awam.

Lama kelamaan sikap orang ramai berubah apabila penduduk menyedari usaha Congrong dapat membantu menjadikan bandar mereka bersih. Penduduk mula memuji dan menyokong usaha lelaki itu.

Malah isterinya kini berkempen untuk 'anti buang sampah' dan akan memarahi sesiapa sahaja yang dilihat membuang sampah di atas jalan.

"Sama ada kita jadi orang yang buang sampah atau pengutip sampah ia tak ada kaitan dengan ijazah akademik, latar belakang budaya, umur, atau status sosial ekonomi," Congrong memberitahu Sixth Tone pada Disember 2017.

Jutawan pemungut sampah ini yang telah melakukan yang terbaik dalam usahanya untuk melihat bandarnya bersih juga telah memberi inspirasi kepada orang lain.

Dia memakai baju-T berwarna oren yang menarik perhatian yang memaparkan slogan 'anti buang sampah' ketika memungut sampah.

Dia juga mengenakan denda 10 yuan terhadap pekerjanya jika mereka membuang sampah di tempat kerja.

Walau bagaimanapun, dia sedar langkah-langkah yang lebih besar diperlukan untuk melakukan perubahan dalam isu ini.

"China memerlukan peraturan yang lebih ketat untuk menghalang orang membuat sampah merata-rata," katanya. -Oddity

jutawan , kutip sampah

Artikel Lain