Penonton tersentuh, bapa bergegas ke pentas selamatkan anak gugup buat persembahan - Dunia | mStar

Penonton tersentuh, bapa bergegas ke pentas selamatkan anak gugup buat persembahan

SEORANG bapa dengan tiga anak menyentuh hati penonton selepas bergegas naik ke pentas untuk membantu anak perempuannya yang tidak dapat membuat persembahan kerana gugup.

Marc Daniels, 39, dijemput menghadiri sesi rehearsal penuh pertunjukan balet di Hamilton City Hall, Bermuda, pada 29 Mei, yang mana anaknya, Bella pertama kali mengambil bahagian.

-foto Caters News Agency

Daniels yang bekerja sebagai barrister itu pada mulanya berfikir dia dapat menenangkan kanak-kanak berusia dua tahun itu hanya dengan menemaninya di dewan.

Tetapi sangkaannya meleset apabila Bella meraung di pentas.

Daniels yang sedang mendukung anak bongsunya, Suri, terus berlari naik ke pentas, menghulurkan tangannya kepada Bella dan bersama-sama membuat persembahan balet.

Rakaman menyentuh hati itu menyaksikan Daniels tanpa segan silu berpusing, melompat, mengangkat dan meluruskan kakinya, tak ubah seperti seorang penari balet.

Melihat bapanya menari, Bella terus berhenti menangis dan mengikut setiap pergerakan Daniels.

Tindakan spontan Daniles mendapat tepukan gemuruh oleh guru dan ibu bapa yang hadir.

Daniels telah dijemput sekali lagi oleh In Motion School of Dance untuk membuat persembahan bersama kumpulan kanak-kanak itu pada 9 Jun.

"Apabila saya tiba, Bella sangat emosi dan memerlukan pelukan daripada bapanya.

"Walaupun dia mengamuk, saya tahu dia mahu terus berada di atas pentas dan saya tidak mahu menghalangnya sebelum hari persembahan dengan dia menjadi satu-satunya peserta yang tidak ambil bahagian.

"Saya berjalan sambil memegang Suri dan berdiri bersebelahan dengannya, cuba membantunya membina keyakinan, saya beritahu bahawa saya menyayanginya dan dia seorang penari yang sangat hebat.

"Saya tanya dia adakah dia mahu menari dengan saya dan dia mengangguk, jadi saya fikir saya patut turut serta.

"Saya telah berlatih di rumah jadi ia bukan luar biasa bagi saya. Di rumah dia selalu menari, tetapi pada hari kejadian jelas dia kurang bertenaga.

"Apa yang saya buat hanyalah ikut naluri dan saya benar-benar tidak mempertimbangkan dulu tindakan saya.

"Sekarang semua orang di Bermuda tahu bakat saya. masih belum terlambat untuk saya menjadi penari balet," katanya berseloroh. -MetroUK

menari balet , gugup

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel