suria

Krisis ekonomi, rakyat guna akhbar gambar presiden sebagai tisu tandas

POLIS mula memeriksa tandas awam dan swasta di seluruh Turkmenistan untuk mencari bukti gambar presiden Gurbanguly Berdymukhammedov digunakan sebagai kertas tandas.

Presiden Turkmenistan pada awal tahun ini menjadi tajuk berita apabila mengharamkan kereta berwarna hitam hanya kerana dia sukakan warna putih.

Selepas berita orang ramai menggunakan akhbar dengan wajah presiden sebagai kertas tandas tersebar, polis dan pekerja di tapak pelupusan diarahkan untuk mencari bahan bukti mengenai kesalahan luar biasa ini dan mengeluarkan amaran bahawa perbuatan itu boleh membawa kesan serius.

Menurut artikel di Fergana, sebuah laman berita yang berpusat di Moscow yang terkenal dengan liputan berkredibiliti masyarakat Turkmen, segalanya bermula pada akhir tahun lalu, apabila beberapa anak muda di kota utara Dashoguz ditahan dan cuba merosakkan gambar Berdymukhammedov.

Dalam satu kes, pelajar di sekolah di bandar ini memijak gambar presiden dan dalam kes lain, kanak-kanak di sekolah lain menggunakan pen untuk melukis misai dan janggut pada gambar Berdymukhammedov.

Insiden tersebut menyebabkan siasatan dilakukan yang akhirnya mendedahkan bahawa penggunaan surat khabar dengan wajah presiden sebagai kertas tandas adalah perkara biasa.

Semasa memeriksa sekolah lain di Dashoguz berhubung pencemaran foto-foto presiden, polis menemui helaian akhbar yang sebahagiannya mempunyai wajah Berdymukhammedov digunakan sebagai kertas tandas di tandas sekolah.

Pengarahnya telah dipecat dan siasatan lanjut terrhadap amalan ini dilakukan. Dilaporkan beberapa penjawat awam telah diberhentikan kerana kes ini.

Selain pegawai polis pekerja tapak pelupusan sampah di seluruh barat Turkmenistan juga telah diarahkan untuk mencari gambar-gambar pemimpin tertinggi negara itu yang telah dikotorkan.

"Terdapat pekerja janitor khas di setiap tapak pelupusan yang tugasnya memeriksa sampah, mencari akhbar berwajah presiden yang dikotorkan, untuk mengenal pasti rumah atau flat pelanggan surat khabar itu dan melaporkannya kepada polis," lapor Fergana.ru.

Alternativnnyy Novosti Turkmenistana melaporkan bahawa akibat krisis ekonomi yang sedang melanda Turkmenistan, ramai orang cenderung menggunakan akhbar sebagai kertas tandas daripada membelanjakan wang membeli tisu tandas.

Memandangkan gambar Berdymukhammedov menguasai sebahagian besar halaman akhbar nasional, sukar bagi mereka untuk mengelak daripada menggunakannya sebagai pengganti tisu tandas.

Artikel Lain