suria

Pembunuhan rakyat Palestin: Turki isytihar berkabung

ANKARA: Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag, pada Isnin mengumumkan tempoh tiga hari berkabung atas pembunuhan penduduk Palestin oleh tentera Israeli, lapor agensi berita China Xinhua.

Sebagai Pengerusi Bergilir Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Turki telah memanggil satu mesyuarat tergempar pada Jumaat, kata Bozdag selepas menghadiri mesyuarat Majlis Menteri di Ankara.

Bozdag turut menyelar penempatan semula Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis kerana ia melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Ankara telah memanggil duta Turki di Tel Aviv dan Washington pulang untuk rundingan.

Turki akan mengadakan satu perhimpunan massa di Istanbul pada Jumaat untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin, lapor agensi berita rasmi Anadolu memetik kenyataan Presiden Recep Tayyip Erdogan di London.

Sekurang-kurangnya 55 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 2,700 lagi cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel pada Isnin ketika membantah penempatan semula Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Di RIYADH,  Arab Saudi turut mengutuk pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin yang tidak bersenjata oleh tentera Israel, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Kementerian Hal Ehwal Luar, dalam satu kenyataan, menzahirkan sokongan Arab Saudi kepada Palestin untuk menegakkan hak-hak mereka yang sah selaras dengan resolusi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.Riyadh turut menggesa agar keganasan antara rakyat Palestin dan Israel dihentikan.

Di PARIS, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengutuk keganasan tentera Israel terhadap penunjuk perasaan Palestin, yang mengakibatkan kehilangan nyawa dalam kalangan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Xinhua.

Macron membuat kenyataan itu menerusi perbualan telefon dengan Raja Abdullah II dari Jordan dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, menurut kenyataan pejabat presiden.- Bernama

Gaza, Palestin, Israel

Artikel Berikut

Artikel Lain