suria

Bunuh ular tedung guna penyapu

SINGAPURA: Seekor ular tedung yang sedang menjalar di dalam taman sebuah rumah berdekatan MRT Dover pada pagi Isnin berjaya dibunuh seorang pembantu rumah.

Carlos Chua, 19, berkata, dia memberitahu ahli keluarganya supaya berlindung di dalam rumah dan melepaskan anjing peliharaannya sewaktu melihat ular berkenaan.

"Haiwan itu bertindak agresif terhadap sesiapa saja yang cuba menghampirinya. Saya tahu ular jenis ini boleh menyembur bisa, jadi saya menjauhkan diri daripada haiwan itu.

Chua berkata, ular tersebut, yang berukuran lebih kurang 50 sentimeter panjang, bertindak menaikkan kepala dari belakang baldi plastik di taman rumah itu sewaktu dia melihatnya.

Selepas Chua pergi ke tempat kerja kira-kira pukul 8.30 pagi, pembantu rumah warga Filipina yang berkhidmat di rumahnya selama 16 tahun bertindak membunuh ular berkenaan.

Pembantu rumah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mhelyn, 48, berkata: "Saya merasa gementar ketika melihat ular itu. Walaupun tiada seorang pun di rumah, saya takut ia mungkin mematuk majikan saya."

Dengan hanya menggunakan batang penyapu, dia cuba menghalau ular itu namun ia semakin agresif.

"Saya tidak mahu membunuh ular itu pada mulanya, tetapi ia menjadi agresif dan enggan berganjak."

Akhirnya, dia berulang kali memukul haiwan berbisa itu sehingga mati menggunakan batang penyapu tersebut.

Spesies ular itu biasanya tidak agresif jika dibiarkan sahaja tetapi sekiranya berasa terancam, ia akan menyembur bisa dari taringnya.

Bisa ular tersebut berupaya meliputi jarak lebih satu meter, dan boleh menyebabkan mangsa buta sementara.

Sekiranya digigit, sistem saraf mangsa akan terjejas akibat bisa itu sehingga boleh membawa kepada kematian.

Timbalan Ketua Eksekutif Penyelidikan Kesedaran Haiwan dan Pendidikan Masyarakat (Acres) Kalai Vanan berkata, ular tedung tidak akan menyerang manusia secara aktif.

"Percubaan untuk mengancam, menyakiti atau membunuh ular itu hanya akan memburukkan lagi keadaan," kata Kalai. - The Straits Times/Asia News Network.

ular tedung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain