suria

Lebih 900 Pelombong Emas Terperangkap Bawah Tanah, Ada Hidap Sakit Kronik

KIRA-KIRA 950 pelombong emas di Afrika Selatan terperangkap di bawah tanah akibat gangguan bekalan elektrik ketika ribut petir melanda kawasan itu.

Pemilik lombong berkenaan, Sibanye-Stillwater memberitahu NBC News, kejadian itu menyebabkan lif gagal berfungsi.

Menurut syarikat itu, pekerja syif malam terkandas kerana lif tidak dapat membawa mereka ke atas di lombong emas Beatrix yang terletak di pekan kecil Theunissen berhampiran bandar Welkom.

Bagaimanapun, semua pekerja terbabit dilaporkan tidak berada dalam keadaan bahaya.

“Masih ada 955 pekerja di bawah tanah, mereka berada dalam kawasan tertutup dan selamat, dengan ada pengudaraan yang baik, dan kami telah menghantar bekalan makanan dan air kepada mereka.

"Kami sedang cuba memulihkan bekalan elektrik untuk membawa mereka naik ke atas,” kata jurucakap Sibanye-Stillwater, James Wellsted.

Katanya, kedalaman di mana pelombong terperangkap tidak dapat dipastikan tetapi lombong itu mempunyai 23 tingkat, kira-kira 1,000 meter ke bawah tanah.

Sementara, jurucakap Kesatuan Sekerja Pelombong (NUM), Livhuwani Mammburu memberitahu Reuters, masa yang lama diambil untuk menyelamat seorang demi seorang pelombong terbabit.

"Situasi agak membimbangkan kerana ada dalam kalangan pekerja terlibat menghidap penyakit kronik dan tidak membawa bekalan ubat bersama," katanya.

Satu kabel berjaya dipulihkan pada waktu pagi dan 272 dapat diselamatkan, tetapi masih ada 955 terperangkap pada awal petang Khamis.

Mereka berada di bawah tanah bagi tempoh lebih 24 jam dan ahli keluarga dengan penuh gementar sabar menanti di tepi jalan di kawasan itu. Sebuah generator di lombong itu sudah mula berfungsi.

Lombong Beatrix terletak di wilayah negara bebas, 290km barat daya Johannesburg.- Reuters


Sibanye-Stillwater, NUM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Spice Girls Kembali?

Artikel Lain