suria

Konvoi Presiden Singapura Nyaris Disaman!

SINGAPURA: Di republik ini tiada yang kebal undang-undang termasuk presiden.

Rabu lalu, dua kenderaan dalam konvoi Presiden Halimah Yacob hampir disaman oleh pihak berkuasa semasa menunggu di garisan kuning berkembar di Prinsep Street.

Satu foto yang menunjukkan pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) bercakap dengan seorang pemandu Mercedes putih bernombor pendaftaran SEP1, tular menerusi media sosial sejak Rabu.

SEP1 merupakan nombor pendaftaran eksklusif kenderaan ketua negara Singapura dan SEP adalah singkatan ‘Singapore Elected President' (Presiden Dipilih Singapura).

Memetik kenyataan bersama LTA dan Pasukan Polis Singapura (SPF), Channel NewsAsia (CNA ) melaporkan pegawai penguat kuasa LTA sedang menjalankan rondaan rutin di sepanjang Prinsep Street pada Rabu apabila beliau melihat dua buah kenderaan sedang menunggu di garisan kuning berkembar.

Pegawai terbabit mendekati kenderaan berkenaan untuk meminta pemandunya beredar, seiring dengan pendekatan LTA dalam menguatkuasaan peraturan garisan kuning berkembar, demikian menurut laporan itu.

“Pemandu itu memaklumkan pegawai penguat kuasa tersebut yang dia di situ untuk menjemput Presiden yang dalam perjalanan keluar. Ketika itu Presiden sampai dan pemandu terbabit memandu meninggalkan tempat berkenaan . Tiada saman dikeluarkan,” LTA dan SPF dipetik berkata.

CNA melaporkan kedua-dua agensi terbabit menjelaskan Police Security Command (SecCom) menyediakan kawalan keselamatan untuk presiden dan pemimpin politik kanan lain.

“Sebagai sebahagian operasi kawalan keselamatan, konvoi kenderaan harus berada dekat dengan lokasi acara namun seiring peraturan trafik bagi mempermudah pengungsian semasa hal luar jangka,” kata kedua-dua agensi terbabit.

Dalam kes ini, komander bertugas SecCOM membuat keputusan agar konvoi menunggu di situ memandangkan tiada tempat letak kenderaan di tepi jalan dalam kawasan tersebut yang membolehkan konvoi datang ke lokasi pada kadar segera sekiranya berlaku kecemasan, kata mereka.

Media dalam talian melaporkan polis dan LTA telah meneliti insiden dan mengingatkan pegawai SecCom agar meletak kenderaan selaras undang-undang trafik tanpa menjejaskan misi memastikan keselamatan pihak yang diiring. - Bernama

Presiden Halimah Yacob

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain