suria

Serangan Di Saint Charles: Mungkin Angkara Pengganas

PARIS: Kejadian dua wanita maut ditikam di stesen kereta api Saint Charles di Marseille, Perancis, mungkin mempunyai kaitan dengan pengganas, kata Menteri Dalam Negeri Perancis Gerard Collomb pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk agar lebih berhati-hati, memandangkan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti sebenar penyerang selain menentukan motif serangan, lapor agensi berita China Xinhua.

"Tindakan itu mungkin dilakukan pengganas namun belum dapat disahkan lagi," kata Collomb selepas melawat lokasi kejadian di Marseille, tenggara Perancis.

Pada masa sama, beliau turut mengecam tindakan itu yang disifatkannya sebagai perbuatan keji.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam dua wanita dan kemudian menyerang anggota tentera yang mengawasi  kawasan berkenaan sebelum ditembak mati.

Berusia dalam lingkungan 20an dan siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah seperti rompakan serta pengedaran dadah.

Risiko serangan pengganas berada pada tahap tinggi di Perancis, menyaksikan undang-undang darurat diperkenalkan pada 2015 selepas insiden 130 orang terbunuh dan 350 yang lain cedera dalam satu siri letupan dan tembakan didalangi kumpulan Daesh. 

Daesh, Saint Charles

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain