suria

Letupan Gegarkan Kabul Ketika Lawatan SU Pertahanan AS

KABUL: Letupan yang disusuli bunyi tembakan menggegarkan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul Afghanistan pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

"Letupan berlaku kira-kira pukul 11.00 pagi (0630GMT) di satu daripada pintu masuk di bahagian utara lapangan terbang berkenaan. Ia kemudian disusuli bunyi tembakan," kata seorang saksi kejadian Mohammad Wasim kepada Xinhua.

Sejurus selepas kejadian, helikopter tentera berlegar di ruang udara di kawasan kejadian dan siren lapangan terbang turut kedengaran.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Najib Danish menerusi akaun Twitternya menulis, satu letupan berlaku di kawasan sekitar lapangan terbang namun tiada kecederaan dilaporkan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Serangan berlaku menjelang lawatan ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan setiausaha pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis ke Kabul.  Pada Ahad, tiga orang awam cedera selepas konvoi tentera Nato diserang di barat Kabul.-- Bernama 


Mattis, Kabul

Artikel Sebelum

Buta Gara-Gara Tatu Sklera

Artikel Berikut

Artikel Lain