suria

Anak Ikan Lumba-Lumba Mati Gara-Gara Swafoto

SEEKOR anak ikan lumba-lumba mati kerana terlalu kerap disentuh pelancong untuk merakamkan gambar bersama hidupan laut yang jinak itu.

Haiwan betina yang masih bayi itu tersesat dan terpisah daripada ibunya di perairan pantai yang cetek di selatan Sepanyol.

Malahan, ada pelancong yang mengeluarkannya dari laut dan mengusapnya sebelum menyerahkan kepada pelancong lain untuk berswafoto.

Aktivis pemuliharaan marin bergegas ke lokasi tetapi ikan lumba-lumba tersebut sudah mati ketika mereka tiba.

Equinac, satu pasukan yang melindungi hidupan marin di kawasan itu, melaporkan kejadian itu di laman Facebook dan mengkritik mereka yang terlibat kerana taksub untuk mengambil gambar.

“Mereka tidak berhati perut. Ramai tidak merasa belas kasihan terhadap binatang yang terseksa dan ketakutan tanpa ibunya, semata-mata ingin menyentuh dan bergambar dengannya,” kata mereka.

Equinac berkata, ratusan pengunjung pantai Mojacar mengerumuni haiwan itu untuk melihat atau mengambil gambar.

Ketika Equinac tiba 15 minit kemudian, haiwan itu sudah mati.

“Gambar-gambar itu menunjukkan kanak-kanak menyentuh dan tanpa sengaja, telah menutup spirakel (saluran pernafasan) haiwan tersebut.

“Ia bukanlah haiwan yang sesuai untuk diusap oleh kanak-kanak atau orang dewasa.

“Tindakan orang ramai menyentuhnya telah memberi kejutan pada haiwan itu dan mengakibatkan ia sukar bernafas.

“Ikan lumba-lumba itu mungkin tersesat di situ kerana ia sakit atau terpisah dari ibunya.

“Mereka sepatutnya menghubungi khidmat kecemasan dan kami akan cuba menyelamatkannya,” kata Equinac.

Siasatan dijalankan untuk mengetahui siapa yang mengeluarkan haiwan itu dari laut.

Mojacar, dolfin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Nahas Pokok Oak Tumbang

Artikel Lain