suria

'Pemain Gergasi' Cetus Kontroversi Ragbi

SEORANG pemain ragbi berusia tujuh tahun mencetuskan kontroversi apabila sebuah video yang menunjukkan dia 'kasar’ bermain ragbi dengan pasukan lawan tular di internet.

Vaka Tuitupou mempunyai dua kali ketinggian berbanding kanak-kanak seusianya dan beratnya adalah sekitar 100kg.

Dia adalah seorang pemain ragbi yang baik, tetapi disebabkan keadaan fizikalnya, pasukan ragbi Sydney St John’s Eagles hanya membenarkan dia bermain dalam beberapa pusingan sahaja.

Video tersebut dimuat naik oleh bapanya bagi menunjukkan bakat anak lelakinya, tetapi ia tular dan mendapat pelbagai reaksi negatif.

Ada yang berkata, perlawanan itu tidak adil kerana saiz badannya yang sangat ketara besar berbanding pasukan lawan, dan ada juga yang mencadangkan dia ditukar ke pasukan ragbi lain dengan kategori saiz dan berat badan yang hampir sama untuk mengelakkan kecederaan terhadap kanak-kanak lain.

Menurut bapanya, kontroversi di media sosial yang kemudian merebak ke media arus perdana itu memberi kesan negatif kepada Vaka walaupun anaknya mengikut peraturan dan bermain secara adil.

Hakikatnya, dia juga adalah seorang budak yang baik dan sopan.

Menurut Pengurus Besar Liga Ragbi New South Wales, BJ Mather, mereka telah mengehadkan kadar perlawanan kanak-kanak itu.

“Vaka bermain dalam lima pertandingan untuk satu sesi dan setiap pusingan, dia hanya bermain dalam dua suku pusingan,” katanya.

“Dia sedar tentang fizikalnya yang berbeza. Dia boleh mengangkat rakan-rakannya dengan satu tangan sahaja jika dia mahu.

"Tetapi, Vaka seorang budak yang baik hati. Dia datang dari keluarga yang baik dan hanya ingin bermain ragbi,” kata Presiden Kelab St John’s Eagles Nasser Matta.

“Saya tidak mahu dia berfikir bahawa dia tidak layak bermain ragbi kerana keadaan fizikalnya.” -odditycentral

ragbi, pemain gergasi

Artikel Sebelum

Artikel Lain