suria

Sufra Food Bank Mahu Isu Pembaziran Diatasi

LONDON: Bulan Ramadan sentiasa dikaitkan dengan umat Islam yang berpuasa dengan menahan diri dari lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari untuk menerapkan disiplin dalam diri.

Pada tahun ini, komuniti bank makanan atau food bank mahu menjadikan bulan yang mulia ini untuk membangkitkan isu kekurangan dan pembaziran makanan di Britain.

Bank makanan, Sufra NW London yang menganjurkan majlis berbuka puasa antara pemimpin agama, menjemput ketua penganut Yahudi dan Kristian bersama dengan 100 penduduk tempatan untuk menghadiri makan malam, yang sumbernya adalah dari makanan yang dibazirkan.

“Mereka datang kepada kami berdepan krisis yang dahsyat," kata Mohammed Sadiq Mamdani, pengasas dan pengarah Sufra.

“Kebanyakan mereka yang datang menganggap Sufra sebagai pilihan terakhir, kami menganggap kesempatan itu sebagai peluang yang baharu.”

Bilangan mereka yang menggunakan khidmat bank makanan di Britain, yang menyediakan bekalan makanan kecemasan kepada mereka yang memerlukan, telah meningkat pada 2016 ketika pelaksanaan langkah penjimatan oleh kerajaan.


Tahun lepas, Sufra memberi bantuan kepada lebih daripada 3,700 orang dengan mendapatkan makanan dari pasaraya, kedai roti dan juga sumbangan secara sukarela.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pembaziran makanan termasuk makanan basi, makanan yang masih boleh dimakan, pisang, sayur-sayuran yang cacat atau makanan yang rosak.

Apabila tiba waktu solat pada pukul 9 malam, kurma dan air telah diagih sebelum menikmati hidangan berbuka puasa.

“Ia adalah sesuatu yang mengejutkan apabila masih ada yang lapar. Meskipun makanan mencukupi untuk semua, tetapi ianya tidak diagihkan dengan baik, oleh itu masih ada yang pergi tanpa mendapat makanan,” kata Reverend Leao Neto dari gereja Methodist tempatan.

Perkongsian makanan merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh semua agama, demikian kata Rabbi Frank Dabba Smith.

“Ianya suatu perkara yang menyedihkan kerana kita memerlukan khidmat bank makanan,” katanya.

“Terdapat banyak makanan tetapi ianya tidak dikongsi dengan adil.”

“Lebih kurang satu per tiga makanan yang dihasilkan setiap tahun tidak dimakan kerana sudah rosak selepas dituai atau semasa diangkut dan ada juga yang dibuang begitu sahaja," demikian laporan FAO.

Makanan yang dibuang di tanah akan mereput dan mengeluarkan gas yang berbahaya terhadap tanaman.


Sufra, yang dikendalikan dengan pertolongan 96 sukarelawan termasuk kanak-kanak dan orang-orang tua menyediakan kek gulung coklat yang dibuat daripada bahan-bahan dari Thorntons chocolatier dan buah-buahan segar yang disumbang oleh Marks & Spencer sebagai pencuci mulut.

“Ianya menyeronokkan,” kata Fatima Khawaja, 17, yang bertanggungjawab menghidangkan makanan kepada tetamu.

“Kami dapat berkenalan dengan penduduk tempatan dan ia sangat menyeronokkan.”

Anthony Spencer, yang melakukan kerja sukarela ini sejak setahun lalu berkata, ini adalah kali pertama dia menikmati hidangan ketika Ramadan.

Kebiasaanya, tugasannya adalah termasuk membersih, menyertai aktiviti mengumpul makanan-makanan di pasaraya dua kali seminggu, dan mengambil makanan yang tidak mahu digunakan dari kedai.

“Kami semua bekerjasama dan rapat seperti satu keluarga,” kata remaja yang berusia 18 tahun itu.

Di Britain, kira-kira tujuh juta tan makanan dan minuman telah dibuang dari rumah setiap tahun, menunjukkan anggaran purata isi rumah lebih kurang 213 kilogram setiap tahun, menurut laporan Agensi Piawaian Makanan, sebuah perbadanan kerajaan Britain. - Reuters

Sufra, Food Bank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jangan Tertipu Ya...

Artikel Lain