suria

Polis Hatyai Tidak Terima Laporan Culik Peter Chong

Peter Chong.

BANGKOK: Polis Hatyai tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan aktivis Peter Chong bahawa beliau diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.

Ketua Polis Hatyai Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap Chong atas dakwaan mereka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu.

"Jika didapati tiada laporan (polis) yang dibuat, maka Polis Hatyai akan membuat laporan terhadap beliau (Peter) kerana membuat cerita rekaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Polis Hatyai tetap menyiasat dakwaan Chong, yang merupakan pembantu Anggota Parlimen Subang R.Sivarasa, dengan meneruskan pemeriksaan di balai-balai polis berhampiran serta polis pelancong Hatyai.

Kittichai berkata beliau juga akan berhubung dengan Polis Malaysia bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan aktivis itu diculik di Hatyai, destinasi yang popular dengan pelancong Malaysia.

"Kita ingin tahu di balai polis mana beliau buat laporan polis (sekiranya beliau membuat laporan polis)," katanya.

Pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata bahawa Chong memberitahu dirinya diculik ketika berada di Hatyai dan dibawa ke Pattaya, sebelum dibebaskan dan pulang ke tanah air.

Amar Singh berkata aktivis itu memberitahu beliau ke Hatyai untuk bertemu sumbernya berhubung kes kehilangan Paderi Raymond Koh Keng Joo.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter mengumumkan tentang kepulangan Chong dari Pattaya.

Chong dilaporkan hilang sejak 6 April lepas setelah kali terakhir dilihat di kediamannya di Bukit Ceylon di sini sebelum polis mengesannya memasuki Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah keesokannya.  - BERNAMA

Polis Hatyai, Peter Chong, kes culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain