suria

Heret Penumpang: CEO United Airlines Minta Maaf

CHICAGO: Susulan tersebarnya video seorang lelaki diheret keluar dari sebuah pesawat United Airlines yang telah mendapat kritikan dan menimbulkan kemarahan di media sosial, pegawai kanan syarikat itu telah tampil memohon maaf.

Rakaman yang diambil di dalam pesawat itu menunjukkan seorang lelaki diheret secara kasar dari tempat duduknya ketika pesawat itu bersedia untuk berlepas dari Chicago ke Louisville pada petang Ahad lalu.

Ketua Eksekutif United Airlines, Oscar Munoz membuat kenyataan di Twitter memohon maaf atas insiden berkenaan.

"Tiada siapa sepatutnya dilayan seperti ini.

"Pasukan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menjalankan kajian terperinci berhubung insiden. Kami juga akan mendapatkan penumpang terbabit dan berbincang dengannya untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Berdasarkan rakaman yang dimuatnaik dilaman mikro twitter Jayse D Anspach, tempahan tiket berlebihan menyebabkan United Airlines meminta empat penumpang secara sukarela memberikan tempat duduk kepada kakitangan mereka yang perlu menaiki penerbangan itu  kerana bekerja pada keesokan harinya.

"Tiada siapa yang menawarkan diri, jadi United Airlines memutuskan memilih penumpang secara rawak dan salah seorang adalah seorang doktor dari Asia dan isterinya. Doktor berkenaan enggan meninggalkan tempat duduknya kerana dia perlu bekerja di hospital pada hari berikutnya," kata Anspach.

Menurut Anspach, sepuluh minit kemudian doktor berkenaan berjalan kembali ke dalam pesawat dengan muka berdarah sambil berkata "Saya mahu pulang".

Penumpang berkenaan dikenali sebagai Dr David Dao, 69, dari Elizabethtown, Kentucky, yang pernah disabitkan lebih sedekad lalu atas dakwaan membabitkan preskripsi ubat dan berusaha bertahun-tahun mendapatkan semula lesen perubatannya.-- Reuters

United Airlines, Munoz

Artikel Sebelum

Artikel Lain