suria

Polis Seret Keluar Penumpang United Airlines Diarah Cuti

NEW YORK: Syarikat penerbangan United Airlines pada Isnin mencetuskan kemarahan orang ramai di atas layanan ke atas seorang penumpang yang diseret keluar dari pesawat itu.

Reuters melaporkan bahawa salah seorang polis lapangan terbang yang terlibat dalam insiden itu arahkan bercuti sementara siasatan dijalankan.

Video yang tular di media sosial selepas dimuat naik penumpang lain menunjukkan seorang lelaki menjerit apabila pegawai keselamatan menariknya dari tempat duduk untuk dibawa keluar dari pesawat bagi penerbangan United 3411.

Ketika kejadian, pesawat itu mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago ke Louisville, Kentucky pada Ahad.

Lelaki berkenaan yang kelihatan seperti orang Asia diseret dengan keadaan mulutnya berdarah.

Jabatan Penerbangan Chicago dalam satu kenyataan berkata, salah seorang pegawai terlibat tidak mengikut protokol dan menambah bahawa dia diarahkan bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung tindakan tersebut.

Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (DOT) berkata, ia mengkaji sama ada United mematuhi peraturan 'lebihan tempahan' yang memerlukan syarikat penerbangan menetapkan garis panduan mengenai bagaimana penumpang tidak dibenarkan menaiki penerbangan sekiranya mereka tidak menawarkan diri untuk memberikan tempat duduk.

"Walaupun terdapat peruntukan di mana syarikat penerbangan boleh menggesa penumpang memberikan tempat duduk mereka sekiranya berlaku lebihan tempahan tetapi tiada yang menawarkan diri, adalah tanggungjawab syarikat penerbangan untuk menentukan keutamaan penerbangannya," kata jurucakap DOT dalam satu kenyataan. 

Terdahulu, Mail Online melaporkan United tidak berjaya mendapatkan penumpang yang menawarkan diri untuk memberikan tempat duduk mereka secara sukarela dengan bayaran AS$800 (RM3,546), diberikan penginapan di hotel dan terbang keesokan hari.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya memilih empat penumpang secara rawak menerusi komputer.

Satu pasangan dan seorang penumpang telah beredar, bagaimanapun penumpang keempat yang merupakan lelaki Asia dan bertugas sebagai doktor enggan mengikut arahan berkenaan.

Menurut doktor itu, dia perlu menaiki pesawat kerana mahu merawat pesakitnya pada sebelah pagi. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain