suria

Jerman Boleh Denda Twitter, FB

BERLIN: Laman sosial yang gagal memadamkan ucapan kebencian dan berita palsu yang dilaporkan oleh pengguna dalam masa seminggu akan dikenakan denda hingga €50 juta (RM234.8 juta).

Perkara itu telah diluluskan kerajaan Jerman pimpinan Canselor, Angela Merkel.

Selain itu, pemimpin syarikat media sosial seperti Twitter dan Facebook juga berdepan denda individu hingga €5 juta (RM22 juta) jika gagal mematuhi peraturan tersebut.

“Jenayah kebencian yang tidak diperangi secara efektif akan mendatangkan bahaya besar kepada masyarakat yang bebas, terbuka dan mengamalkan demokrasi,” kata Merkel.

Selain ucapan kebencian dan berita palsu, draf undang-undang itu turut meliputi kandungan haram lain termasuk pornografi kanak-kanan dan aktiviti berkaitan keganasan.

Syarikat media sosial diberi tempoh 24 jam untuk membuang sebarang kandungan yang melanggar undang-undang Jerman selepas perkara itu dimaklumkan oleh pengguna.

Kandungan haram lain pula perlu dipadamkan dalam masa tujuh hari selepas ia dilaporkan.

Selain itu, syarikat-syarikat media juga perlu menjadikan lebih mudah untuk pengguna melaporkan kandungan bermasalah.

Draf tersebut bagaimanapun memerlukan kelulusan Parlimen Jerman yang dikuasai kerajaan campuran pimpinan Merkel.– AFP




Twitter, FB, Jerman

Artikel Sebelum

Anies Dilapor Fitnah Ahok

Artikel Berikut

Artikel Lain