suria

Seludup Keluar Pesalah Imigresen: Rakyat Malaysia Dipenjara, Sebat

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun didapati bersalah kerana terlibat dalam perniagaan membawa keluar pesalah imigresen dari Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Lembaga Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata Chee Tian Hao dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan pada 23 Mac lepas.

Pada 14 Februari 2016, Chee ditahan oleh pegawai dari ICA kerana cuba menyeludup keluar Md Islam Md Haris Madbar, seorang warga Bangladesh berusia 32 tahun yang tinggal lebih masa.

Md Islam ditemui disembunyikan di bahagian lantai tempat duduk belakang di dalam sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia.

Kenderaan terbabit telah ditahan dan akan dirampas.

Susulan tangkapan Chee dan Md Islam, pegawai ICA menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan mendapati bahawa seorang lagi lelaki warga Malaysia terlibat dalam urusan pelepasan haram itu.

Pada hari yang sama, Mohamed Haniffa Sawulmaid, 36, ditahan di dewan pelepasan bas di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pegawai ICA turut mengenal pasti suspek keempat, rakyat Singapura berusia 61 tahun, Jumali Yusof yang terlibat dalam menguruskan penyeludupan keluar itu.

Md Islam didapati bersalah pada 15 Mac 2016 dan dijatuhi hukuman enam bulan penjara serta lima sebatan.

Mohamed Haniffa pula dipenjara lapan bulan pada 28 Februari lepas manakala Jumali dikenakan hukuman penjara dua tahun enam bulan sebagai ganti hukuman sebat pada 25 November tahun lepas.

ICA memandang serius sebarang percubaan untuk tinggal lebih masa, memasuki atau keluar Singapura secara haram.

Di bawah Akta Immigresen (Bab 133), hukuman kerana tinggal lebih masa atau masuk secara haram ialah penjara sehingga enam bulan dan minimum tiga sebatan, manakala hukuman kerana terlibat dalam perniagaan membawa pendatang asing ke dalam dan keluar Singapura ialah penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak lebih daripada tiga kali. - BERNAMA

ICA, imigresen

Artikel Lain