suria

Sewa Rakan, Kekasih Palsu Demi Populariti

ANDA boleh menyewa rakan, kekasih, ibu bapa, suami atau anak menerusi perkhidmatan yang disediakan Family Romance.

JIKA anda berdepan masalah untuk mencari rakan dalam laman sosial Facebook atau mahu membuatkan bekas kekasih anda cemburu, mungkin sebuah syarikat di Jepun boleh membantu menyelesaikan masalah itu.

Syarikat Family Romance menawarkan khidmat kawan atau kekasih palsu yang akan bergambar sama anda untuk meraih populariti dalam laman sosial.

Portal Oddity Central melaporkan, tujuan syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan itu bagi memastikan klien mereka berjaya dalam meneruskan hidup dengan cara mempamerkan kepalsuan dalam media sosial.

Pelanggan boleh memilih jenis 'rakan' yang dikehendaki termasuk daripada segi usia, jantina atau bentuk fizikal seperti yang disenarikan dalam laman web syarikat tersebut.

Malah mereka boleh menempah seberapa ramai rakan yang diperlukan selagi mereka menggunakan perkhidmatan itu bagi tempoh minimum dua jam dan membanyar 8,000 yen (RM210) bagi setiap kawan palsu selain menanggung kos tambahan termasuk minum, hotel, tiket perjalanan dan lain-lain.

Syarikat berkenaan juga menyediakan perkhidmatan kekasih palsu untuk pelanggan mereka sama ada mahu menunjukkan mereka sudah melupakan kisah silam, mahu memenangi semula hati bekas kekasih atau mencetuskan rasa cemburu.

Selain rakan atau kekasih, Family Romance juga menyediakan pelakon untuk memainkan watak sebagai ibu bapa, suami atau anak dengan bayaran 20,000 yen (RM700) bagi setiap watak.

Bagi pelanggan yang gilakan populariti, mereka boleh menempah segerombolan tetamu untuk menghadiri majlis perkahwinan dan pelakon tersebut akan membuatkan pelanggan mereka seolah-olah seperti individu yang popular di hadapan orang ramai.

Family Romance, Sewa Kekasih, Rakan

Artikel Lain