suria

Robocar Era Baharu Perlumbaan Kereta

ROBOCAR diperkenalkan kepada umum semasa Kongres Mobil Sedunia di Barcelona pada 27 Februari 2017. - BLOOMBERG

BARCELONA: Dunia perlumbaan kereta bakal memasuki era baharu apabila sebuah syarikat teknologi robot memperkenalkan kereta lumba elektrik tanpa pemandu yang pertama di dunia dengan kemampuan mencapai kelajuan sehingga 321 kilometer sejam.

Kereta tersebut dikenali sebagai Robocar, dihasilkan oleh firma Roborace dan dipertontonkan kepada umum pada Kongres Mobil Sedunia (WMC) yang berlangsung di Barcelona pada Isnin.

Sebanyak dua buah kereta Robocar dihasilkan oleh syarikat itu dan kedua-duanya akan diuji dalam satu perlumbaan yang diadakan pada hujung tahun ini, sekali gus menjadi potensi untuk mengadakan perlumbaan kereta tanpa pemandu pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Roborace, Denis Sverdlov berkata, penghasilkan kereta Robocar merupakan detik penting buat firma itu untuk berkongsi teknologi kereta elektrik tanpa pemandu dengan seluruh dunia.


"Saya amat berbangga dengan seluruh pasukan dan rakan perniagaan kami yang bertungkus-lumus menghasilkan mesin canggih ini.

"Amat penting buat kami mewujudkan hubungan antara manusia dan robot bagi mencapai masa depan yang lebih baik," katanya seperti dilaporkan MailOnline.

Kereta itu memiliki berat 975 kilogram dan berukuran 4.8 meter panjar serta dua meter lebar.

Robocar dilengkapi empat motor, setiap satunya dipasang dengan bateri 300 kilowatt dan 540 kilowatt bagi membolehkan kereta lumba itu mencapai kelajuan 321 kilometer sejam.

Selain itu, beberapa teknologi canggih dipasang pada kereta berkenaan termasuk dua radar, 18 sensor ultrasonik, lima pengesan jarak dan cahaya serta enam kamera pintar.

Namun firma itu tidak mendedahkan kos pembuatan kereta tersebut serta tarikh perlumbaan berkenaan diadakan.

Robocar, Roborace

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain