suria

Kerajaan Dakwa Kemewahan Rakyat Punca Bangkok Sesak

BANGKOK: Pendapatan lumayan rakyat Thailand dikenal pasti faktor utama yang menyebabkan ibu negara ini tersenarai antara bandar yang berdepan masalah kesesakan paling teruk di dunia.

Perkara itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon.

Beliau berkata, rakyat yang hidup mewah sahaja yang mampu membeli lebih daripada sebuah kereta.

Prawit berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bagi menangani masalah trafik di bandar itu.

"Faktor lain adalah kadar penggunaan jalan raya semakin berkurangan kerana pembinaan sistem pengangkutan awam sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan di Bangkok," katanya.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya akan merangka peraturan baharu trafik yang akan dikuatkuasakan bagi menangani masalah kesesakan.

Pada Isnin, Skor Trafik Global INRIX meletakkan Bangkok pada kedudukan ke-12 bagi bandaraya paling sesak dunia, angka yang ketara berbanding tempat ke-30 pada 2015.

Malahan, Thailand dikatakan sebagai negara paling sesak di dunia.

Pemandu di Bangkok menghabiskan masa purata 64.1 jam setahun kerana masalah kesesakan lalu lintas.

Situasi di Bangkok ini semakin hampir dengan keadaan di Caracas dan Mexico City yang sememangnya dikenali berdepan masalah trafik yang dahsyat. - The Bangkok Post

Bangkok, INRIX, Prawit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain