suria

Hakim AS Tolak Arahan Trump

Penunjuk perasaan berkumpul di lapangan terbang JFK di New York bagi membantah perintah eksekutif yang ditandatangani Donald Trump pada Jumaat.

NEW YORK: Seorang hakim persekutuan menolak sebahagian perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan sekatan kemasukan sementara imigran ke negara itu.

Hakim Daerah AS, Ann Donnelly itu turut mengarahkan supaya pihak berkuasa  menghentikan tindakan menghantar balik pelarian dan pelancong yang terperangkap di lapangan terbang seluruh AS.

Keputusan itu seiring tindakan orang ramai berkumpul di beberapa lapangan terbang utama AS bagi membantah larangan itu.

Sementara itu, seorang lagi hakim persekutuan di Virginia juga mengeluarkan perintah sementara selama tujuh hari bagi menghalang pihak berkuasa imigresen mengusir penduduk-penduduk tetap sah yang ditahan di Lapangan Terbang Dulles dekat sini, menurut laporan media AS.

“Kejayaan!!!.

“Mahkamah kita pada hari ini berfungsi dengan tepat sebagai tembok pelindung terhadap kekejaman kerajaan atau polisi dan dasar yang tidak mengikuti perlembagaan,” demikian catatan Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) dalam mesej melalui Twitter selepas hakim berkenaan mengumumkan keputusannya.

Sebelum ini, peguam mewakili ACLU mencabar keputusan kerajaan AS pimpinan Trump berhubung perintah itu.

Perintah eksekutif Trump yang ditandatangani Jumaat lalu menggantung kemasukan pelarian dan menyekat visa pelancong dari tujuh negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

Tujuh negara itu ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.

Langkah yang dikuat kuasa serta-merta oleh pihak berkuasa AS sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran yang dilaporkan berlaku di lapangan terbang di bandar Washington, Chicago, Min­neapolis, Denver, Los Angeles, San Francisco dan Dallas. – AFP






Trump, Ann Donnelly

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain