suria

Israel Tunjuk Belang, Lulus Projek Penempatan Haram Baharu

HANYA 48 jam selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, sekutu kuat negara itu, Israel sudah mula menunjukkan belang apabila meluluskan 560 unit rumah tambahan yang akan dibina sebagai sebahagian daripada inisiatif penempatan haram di Timur Baitulmaqdis.

Perkara itu didedahkan menerusi sesi wawancara antara Radio Israel dan Pengarah Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Baitulmaqdis, Meir Turgeman yang memaklumkan bahawa permit yang sebelum ini ditangguhkan semasa era pentadbiran Barack Obama telah diluluskan sebaik sahaja Presiden itu meninggalkan White House.

Selepas kelulusan baharu diberikan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menarik balik larangan ke atas pembinaan penempatan di Timur Baitulmaqdis.

"Tidak perlu lagi penyelarasan dan kini kita boleh membina penempatan di mana tempat yang kita mahu," katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Reuters.

Tambahnya, beliau mahu pembinaan penempatan haram Yahudi di semua wilayah Palestin.

"Kita telah menduduki Palestin sejak 1967. Wawasan saya ialah untuk menggubal kedaulatan ke atas keseluruhan kawasan," tambahnya.

Ketika hari-hari terakhir Obama sebagai Presiden, beliau mengkritik usaha memperluaskan penempatan Israel atas alasan tindakan tersebut akan merosakkan keamanan serantau dan merencatkan usaha penyelesaian antara rejim Zionis dan Palestin.

Susulan kritikan tersebut, Obama terpaksa memberi penjelasan kepada Netanyahu berhubung pendirian Washinton yang mengambil pendekatan berkecuali dan tidak menggunakan kuasa veto bagi menghalang resolusi mengutuk penempatan haram Yahudi di bumi Palestin.

Namun Trump mengambil pendekatan berbeza dengan mengamalkan dasar yang lebih dekat dengan Israel.

Kelulusan permit pembinaan bangunan baru yang dikeluarkan pada Ahad menandakan pusingan 'U' dasar Washington ke atas Tel Aviv.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain