suria

Bayi Tiga Bulan Mangsa Ke-5 Nahas Rempuhan Kereta

Kereta sorong terbalik dalam nahas kereta merempuh laluan pejalan kaki di kawasan membeli-belah Bourke Street di Melbourne, Jumaat.

MELBOURNE: Bayi berusia tiga bulan menjadi mangsa ke lima nahas kereta merempuh pejalan kaki, manakala empat lagi dalam keadaan kritikal dan hampir 40 yang lain cedera.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 26 tahun merempuh laluan pejalan kaki di tengah bandar ini ketika orang ramai sedang bersantai dan membeli-belah pada Jumaat.

Bayi itu meninggal dunia di hospital pada petang Sabtu, kata Polis Victoria.

Empat mangsa lain adalah kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dua lelaki berusia 25 dan 33 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun.

Ketika ini, 37 orang cedera dan masih dirawat di hospital dan empat dalam keadaan kritikal.

Pemandu terbabit ditembak polis di tangan dan kini masih dirawat di hospital dengan kawalan ketat polis.

Penyiasat kes itu berkata, pemandu yang identitinya masih belum didedahkan itu telah menikam abangnya pada awal pagi Jumaat sebelum kemalangan itu.

Ketua Polis Victoria, Komisioner Graham Ashton mengesahkan kejadian itu tiada kaitan dengan sebarang kegiatan pengganas.

Rakaman televisyen di lokasi kejadian menunjukkan pintu sebuah kereta berwarna merah rosak teruk dengan cermin hadapan kereta turut pecah.

Beberapa gambar lain turut memaparkan sebuah kereta sorong bayi dalam keadaan terbalik.

Victoria, Graham Ashton

Artikel Berikut

Artikel Lain