suria

Legenda Bola Sepak Mesir Dipantau Sebagai Pengganas

KAHERAH: Legenda bola sepak Mesir, Mohamed Aboutrika disenarai sebagai suspek pengganas selepas disyaki membiayai pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang disenarai hitam oleh kerajaan.

Abourtika sebelum ini secara terbuka menyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada 2012 tetapi menafikan dakwaan membiayai Ikhwanul Muslimin yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan Mesir.

Mahkamah tempatan mengesahkan bekas pemain kebangsaan berusia 38 tahun itu antara 1,500 individu yang dipantau oleh kerajaan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

Mengikut undang-undang baharu antikeganasan yang dikuatkuasakan oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi pada 2015, mana-mana individu yang dipantau, dikenakan larangan perjalanan selain semua aset dan pasport mereka dibekukan.

Aboutrika yang pernah beraksi untuk kelab Al Ahly dan pasukan kebangsaan, sudah dikenakan tindakan apabila asetnya dibekukan sejak 2015, dua tahun selepas bersara.

Sementara itu, peguam Aboutrika, Mohamed Osman berkata, keputusan mahkamah menyenaraikan bekas pemain itu sebagai suspek pengganas adalah bertentangan dengan undang-undang.

Jelas beliau, pemain itu tidak disabitkan atau dimaklumkan secara rasmi tentang sebarang dakwaan ke atasnya dan rayuan terhadap keputusan tersebut akan dikemukakan.

Aboutrika dikenang sebagai hero Mesir kerana sumbangannya terhadap negara untuk menjulang Piala Afrika dan membantu kelabnya dalam Liga Juara-Juara Afrika.

Beliau kini bekerja sebagai pengulas bola sepak di Qatar untuk saluran sukan BeIN.

Malah peminat beliau turut menyatakan bantahan terhadap keputusan mahkamah dan menggunakan slogan #Aboutrika bukan pengganas sebagai tanda sokongan kepada legenda Mesir itu.

Mohamed Aboutrika

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain