suria

Lelaki 80 Tahun Digelar 'Datuk Terhangat Di China'

Wang Deshun berjalan di atas pentas peragaan. Foto NYTIMES

BEIJING: Pelakon dari China, Wang Deshun berenang, meluncur dan bersenam di gim sebagaimana mereka yang lain mengamalkan aktiviti kecergasan.

Tahun lalu, beliau berlakon dalam lebih 10 filem dan drama televisyen, dengan kebanyakannya sebagai pelakon pembantu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 80an ini tidak menunjukkan tanda-tanda mahu memperlahankan aktiviti dan kerjayanya. 

Jika tidak di lokasi penggambaran, beliau akan bersenam atau melakukan penggambaran fesyen.

Pada 2015, Wang berjambang dan rambut beruban berjalan di atas pentas peragaan sambil menunjukkan badannya yang masih tegap.

Momen selama 60 saat itu telah mencetuskan sensasi terhadap beliau sehingga diberikan gelaran sebagai "datuk terhangat di China".

Jadual Wang hari ini padat dengan komitmen kerja dan beliau tidak mempunyai rancangan untuk bersara walaupun sudah melangkau usia persaraan.

Di China, usia persaraan lelaki adalah 60 tahun dan wanita 50 tahun. 

Tahun ini, kerajaan mahu menaikkan usia persaraan buat pertama kali sejak 1950an. Usia persaraan itu mungkin meningkat kepada 65 tahun bagi lelaki dan 55 untuk wanita, yang mana ia dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Saya tidak pernah terfikir untuk bersara. Saya akan bersara hanya jika saya tidak dapat bekerja lagi," kata Wang kepada The Straits Times di lokasi penggambaran di pinggir Beijing, baru-baru ini.

"Tetapi ada sahaja yang meminta saya untuk melakukan itu ini," kata datuk kepada cucu perempuan berusia dua tahun itu.

Wang dilahirkan di Shenyang pada 1936, memulakan kerjayanya sebagai konduktor tren, dan kemudian berkhidmat di kilang tentera, sebelum menjadi pelakon pada 1960 ketika usianya 24 tahun.

Beliau yang menjalani kehidupan bersama isterinya, 74, mempunyai seorang anak perempuan, 48, dan seorang anak lelaki, 42. - The Straits Times/Asia News Network

Wang Deshun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain