suria

Wanita Rancang Bom Jakarta Kerja Amah Di Singapura

JAKARTA: Seorang wanita Indonesia berusia 27 tahun yang ditangkap kerana didakwa merancang untuk melancarkan serangan berani mati di Kompleks Istana Presiden di sini pernah bekerja di Singapura sebagai pembantu rumah.

Menerusi temu bual dengan saluran berita tempatan TVOne, Dian Yulia Novi berkata, dia pertama kali terdedah kepada Islam radikal melalui Facebook, semasa bekerja sebagai pembantu rumah.

"Melalui Facebook, saya membuka profil jihad yang telah memberi inspirasi kepada saya," katanya kepada wartawan kanan TVOne Ecep S. Yasa ketika dalam tahanan polis.

"Saya tidak menyertai mana-mana kumpulan, tetapi menjadi lebih ingin tahu," katanya, sambil menambah bahawa dia mengumpulkan artikel dan klip audio ajaran agama di Internet.

Wanita yang berasal dari Cirebon di wilayah Jawa Barat itu berkata, dia telah bekerja di Singapura selama satu tahun setengah.

Dia bekerja sebagai pembantu rumah dan menjaga tiga kanak-kanak berusia lima, sembilan dan 11 tahun.

Dian juga berkata dia "aktif" di Facebook dan bertutur dalam bahasa Inggeris di sana.

Dian tidak memberitahu bila dia diambil bekerja, tetapi media Indonesia berkata wanita berkenaan bekerja di Singapura pada 2014.

Dia memberitahu saluran berita itu bahawa dia juga pernah bekerja di Taiwan sebagai pembantu rumah selama tiga tahun.

Walaupun bekerja sebagai pembantu rumah, Dian berkata dia hanya memakai tudung namun tidak memakai purdah dan tidak pernah mengambil cuti walaupun sehari.

Dian adalah seorang daripada dua wanita dari sekumpulan individu seramai tujuh orang yang ditahan pada hujung minggu lalu kerana merancang plot untuk menyerang kompleks pejabat Presiden Joko Widodo dengan bom periuk nasi 3kg.

Menerusi temubual pada Selasa, dia telah ditanya sama ada tidak takut kepada kemurkaan Allah kerana ingin menyakiti manusia lain, Dian berkata dia melakukannya "demi Allah".

Dian berkata, dia telah diperkenalkan kepada Nur Solihin, yang turut ditahan dalam serbuan itu oleh seseorang di media sosial dan telah berbual-bual dengan individu tersebut di Telegram.

Mereka berkahwin tiga bulan lepas. Dian tahu lelaki tersebut sudah berkahwin dan mempunyai anak. - Berita Harian / Asia News Network

Dian Yulia Novi, Isis

Artikel Sebelum

Artikel Lain