suria

'Penyembelih Bosnia' Layak Dipenjara Seumur Hidup - Pendakwa Raya

THE HAGUE: Pendakwa raya menggesa hakim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bekas komander Serb, Ratko Mladic dipenjara seumur hidup kerana bertanggungjawab melancarkan kempen pembersihan etnik dengan membunuh penduduk Islam Bosnia.

Mladic, 74, didakwa bertindak kejam kerana merancang untuk mewujudkan negara Great Serbia semasa perang Balkan pada 1990, sekali gus dilabel sebagai ‘Penyembelih Bosnia’.

“Adalah satu penghinaan kepada mangsa-mangsa yang masih hidup, mati dan penghinaan kepada keadilan jika mahkamah mengenakan hukuman selain penjara seumur hidup.

“Sudah tiba masanya, bagi Jeneral Mladic bertanggungjawab atas pelbagai tuduhan jenayah terhadap setiap mangsa dan komuniti yang dia bunuh,” kata pendakwa raya, Alan Tieger kepada Tribunal Jenayah Antarabangsa.

Bagaimanapun, Mladic menafikan kesemua 11 dakwaan termasuk dua tuduhan pembunuhan secara beramai-ramai serta jenayah perang selepas terlibat dalam konflik berdarah yang berlaku pada 1992 hingga 1995.

Tragedi itu menyebabkan lebih 100,000 maut, manakala 2.2 juta yang lain telah kehilangan tempat tinggal susulan kempen untuk menghalau kesemua penduduk bukan Serbia dari wilayah Bosnia bagi mewujudkan Greater Serbia.

Selepas hidup secara terbuka di Serbia walaupun pihak berkuasa antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atasnya, akhirnya dia ditahan pada 2011 selepas 16 tahun melarikan diri.

Kes perbicaraannya bermula pada Mei 2012 dan keputusan Tribunal Jenayah Antarabangsa akan diumumkan tahun depan. – AFP



Penyembelih Bosnia, PBB, Great Serbia

Artikel Sebelum

California Utara Bergegar 15 Saat

Artikel Berikut

Artikel Lain