suria

Belum Sah Masalah Enjin Punca Pesawat PIA Terhempas

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan masih menyiasat punca sebenar kejadian nahas pesawat syarikat penerbangan Pakistani International Airlines (PIA) yang mengorbankan 47 orang dalam nahas pada Rabu.

Laporan awal mendakwa masalah enjin sebagai punca kejadian itu dan menolak faktor teknikal atau kesilapan manusia.

Pesawat itu dilaporkan mengalami kegagalan fungsi pada salah satu daripada dua enjin bebaling turbo sebelum terhempas, namun perlu disahkan melalui siasatan.

Pengerusi syarikat itu, Muhammad Azam Saigol mendakwa, pemeriksaan dan penyelenggaraan kerap dilakukan ke atas pesawat jenis ATR-42, dan menerima pengesahan ‘pemeriksaan A’ pada Oktober lalu.

“Saya mahu jelaskan bahawa pesawat itu dalam keadaan sempurna sebelum berlepas,” kata Muhammad Azam.

Insiden terburuk dalam tempoh empat tahun lalu itu turut mengorbankan bekas penyanyi rock yang menjadi pendakwah, Junaid Jamshed, dua bayi dan tiga pelancong.

Pelancong asing yang terkorban adalah dua warga Austria dan seorang lelaki berbangsa Cina, menurut syarikat penerbangan itu.

Akhbar Dawn pula melaporkan, turut terkorban ialah ahli keluarga diraja Chitral, isteri dan keluarganya serta seorang pegawai pentadbiran serantau, Osama Ahmad Warraich.

Pesawat jenis ATR-42 itu dalam perjalanan ke ibu negara Pakistan, Islamabad, dari Chitral, utara negara itu sebelum terhempas di kawasan pergunungan Havekian, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa. – Reuters



PIA, Pakistan

Artikel Lain