suria

Juruterbang Pandu Laju Punca Nahas Jet Peribadi Keluarga Osama

Tiga ahli keluarga Osama bin Laden terbunuh dalam nahas jet peribadi pada 31 Julai 2015. Foto twitter @tubman89 / Mail Online

SEBUAH jet peribadi terhempas di Surrey dan mengorbankan tiga ahli keluarga Osama bin Laden, didapati mendarat terlalu jauh dari landasan kerana ia diterbangkan terlalu laju, demikian diputuskan oleh pasukan penyiasat nahas berkenaan.

Pesawat Phenom 300 yang didaftarkan di Arab Saudi itu terhempas dekat landasan Lapangan Terbang Blackbushe, England pada 31 Julai tahun lalu.

Ia kemudiannya meletup dan terbakar di kawasan tempat letak kereta. 

Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) berkata, mangsa terbunuh akibat kebakaran jet itu, selepas bahagian sayap terpisah dengan badan pesawat.

Siasatan mendapati pesawat itu dibawa 40 peratus lebih laju berbanding kelajuan yang disyorkan semasa ia hendak mendarat.

Laporan menemui keupayaan juruterbang terbabit untuk menyesuaikan diri dan mengambil maklumat baharu semasa mahu melakukan pendaratan terhalang disebabkan 'keadaan beban kerja yang sangat tinggi'.

Kesemua tiga penumpang merupakan ahli keluarga Osama bin Laden, iaitu ibu tirinya, Raja Bashir Hashem, 75, anak perempuannya, Sana bin Laden, 53, dan seorang lagi saudara, Zouheir Anuar Hashem, 56.

Juruterbang pesawat itu merupakan warga Jordan berusia 58 tahun, Mazen Salim Alqasim. - Mail Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain