suria

Kedutaan AS Palsu Beroperasi Selama 10 Tahun Ditutup

BANGUNAN berwarna merah jambu di ibu negara Ghana dijadikan sebagai Kedutaan AS palsu oleh kumpulan jenayah tempatan dan Turki. - Ihsan OddityCentral

ACRRA: Pihak berkuasa Ghana baru-baru ini menutup sebuah Kedutaan Amerika syarikat (AS) palsu di sini yang telah beroperasi selama 10 tahun untuk mengeluarkan visa kepada penduduk tempatan dan pelancong.

Menurut laporan portal Oddity Central, kedutaan palsu itu dikendalikan oleh kumpulan penjenayah terancang dari Ghana dan Turki.

Bangunan Kedutaan AS yang sebenar di Accra merupakan sebuah bangunan pejabat yang besar dilengkapi pagar dan kawalan tentera terletak kawasan penempatan golongan orang kaya di Ghana.

Manakala kedutaan palsu tersebut hanya merupakan sebuah bangunan berwarna merah jambu dan beratapkan zink serta bendera AS dikibarkan di luar premis tersebut.

Tiada warga Amerika yang bekerja di premis itu, sebaliknya dikendalikan oleh rakyat Ghana dan Turki.

Antara pasport dan dokumen palsu yang dirampas oleh polis. - Ihsan OddityCentral

Namun mereka berjaya menjalankan operasi selama 10 tahun untuk meyakinkan orang ramai membayar beribu-ribu dolar bagi mendapatkan visa dan dokumen pengenalan palsu.

Dipercayai mangsa terpedaya kerana melihat potret Presiden Barack Obama tergantung di dalam bangunan itu.

Difahamkan, kumpulan jenayah itu memberi rasuah kepada pihak berkuasa untuk memastikan aktiviti penipuan mereka tidak diganggu.

Malah Jabatan Negara AS mendedahkan bahawa kedutaan palsu itu beroperasi tiga hari seminggu dan perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

Dalam serbuan pihak polis Ghana, mereka menemukan 150 keping pasport dari 10 negara berbeza dan visa palsu dari AS, India dan Afrika Selatan.

Kedutaan AS, Ghana

Artikel Lain